Berita Berita
Lelaki pitam sebelum terjatuh ke landasan LRT Hang Tuah selamat dibawa keluar
KUALA LUMPUR 1 Julai – Seorang lelaki berjaya diselamatkan selepas dipercayai pitam sebelum hilang imbangan dan terjatuh ke landasan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Hang Tuah bagi Laluan Ampang/Sri Petaling, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.36 petang itu, penumpang berkenaan berjaya dibawa keluar dari kawasan landasan dengan selamat hasil tindakan pantas anggota Polis Bantuan dan pasukan operasi Rapid KL.
Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan, anggota Polis Bantuan yang bertugas di platform segera memberikan bantuan awal sebaik insiden berlaku.
Menurut kenyataan itu, bekalan kuasa ke landasan turut dihentikan sementara sebagai langkah keselamatan bagi membolehkan operasi menyelamat dijalankan.
“Penumpang berkenaan berjaya dibawa keluar dari kawasan landasan dengan selamat sebelum diberikan rawatan awal di bilik kecemasan stesen.
“Selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan dan landasan disahkan selamat untuk beroperasi, perkhidmatan tren di Laluan Ampang/Sri Petaling beroperasi seperti biasa pada 6.52 petang,” menurut kenyataan itu.
Rapid KL berkata, aspek keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan dan orang ramai diingatkan supaya mematuhi arahan keselamatan ketika berada di stesen.
Katanya, penumpang perlu berada di belakang garisan keselamatan semasa menunggu tren serta tidak memasuki kawasan landasan.
“Rapid KL turut menasihatkan mana-mana penumpang yang berasa kurang sihat, pening atau tidak selesa ketika berada di stesen supaya segera mendapatkan bantuan daripada petugas stesen atau anggota Polis Bantuan yang bertugas bagi membolehkan bantuan diberikan dengan segera,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang penumpang terjatuh ke landasan di Stesen LRT Hang Tuah.
Berita berkaitan
July 1, 2026, 5:19 pm
MP Jelutong puji kelapangan dada Ahmad Zahid bawa impak positif dalam Dewan Rakyat
July 1, 2026, 4:52 pm
Isu sekatan program Felda: "Itu hal teknikal, kita move on" – Onn Hafiz
July 1, 2026, 3:23 pm
Sifar kes penipuan haji, badal haji musim ini - Menteri Agama
July 1, 2026, 3:13 pm
PRN Johor: Bersatu kekal komited sokong calon PN, bukan BN – Tun Faisal
July 1, 2026, 3:01 pm
