Berita Hiburan
Filem 'The Keris' angkat semula legasi Hang Tuah di pawagam
KUALA LUMPUR 3 Julai – Industri perfileman tempatan bakal menerima sebuah karya unik yang menggabungkan elemen warisan, aksi, dan drama menerusi filem The Keris. Naskhah terbaharu ini sedia mengetengahkan nilai sejarah, identiti budaya, serta perjuangan dalam menghadapi cabaran yang menguji kepercayaan dan keberanian.
Idea menghasilkan filem ini tercetus apabila penerbitnya, Dr. Matheyalagan, menyedari generasi muda hari ini semakin kurang mengenali tokoh sejarah penting negara seperti Hang Tuah dan para sahabatnya.
"Saya mendapati kisah sejarah seperti hikayat Hang Tuah yang cukup terkenal semakin dilupakan, malah segelintir anak muda tidak lagi mengenali mereka. Perkara ini mencetuskan idea dalam diri saya untuk menghasilkan The Keris bagi membangkitkan semula sejarah lama serta seni persilatan yang wajar diwarisi generasi akan datang," katanya.
Filem terbitan syarikat Mathe’s Production House Sdn. Bhd. ini membawa jalan cerita unik mengenai seorang anggota mafia luar negara yang cuba merampas Keris Tempa Melaka milik Hang Tuah yang disimpan oleh seorang individu kerana dikatakan mempunyai kelebihan tersendiri.
Diarahkan oleh pengarah berpengalaman, Viknes Perrabu, The Keris menampilkan kelainan tersendiri apabila menggabungkan dua latar masa berbeza iaitu era moden dan zaman Kesultanan Melayu Melaka. Naskhah ini turut sarat dengan aksi persilatan tradisi, seni bela diri moden, serta adegan lagak ngeri yang mendebarkan.
Walaupun berbangsa India, Dr. Matheyalagan menegaskan ia bukan halangan untuk mengangkat budaya Melayu. Sebaliknya, beliau melihat usaha ini sebagai satu tanggungjawab dan penghormatan kepada warisan negara, apatah lagi beliau sendiri membesar dan bergaul rapat dengan masyarakat Melayu di kampung sejak kecil. Beliau juga mendedahkan filem ini dihasilkan sepenuhnya menggunakan dana sendiri tanpa bantuan luar atau Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Sementara itu, Viknes memberitahu beliau tertarik untuk mengarahkan filem ini selepas 15 tahun berkecimpung dalam industri filem Tamil tempatan kerana yakin dengan kekuatan skripnya. Bagi memastikan ketepatan fakta sejarah, adat, istilah, dan seni senjata warisan itu, pihak produksi turut melibatkan pengarah berpengalaman, Datuk Zulkiflie M. Osman dalam proses pembangunan skrip.
"Filem ini menampilkan gabungan kisah legenda Melayu, khususnya pertarungan ikonik antara Hang Tuah dan Hang Jebat yang diolah dalam latar kehidupan moden bagi memberi nafas baharu kepada cerita warisan," jelas Viknes yang turut mengakui berdepan cabaran komunikasi bahasa Melayu ketika di set penggambaran pada peringkat awal.
Bagaimanapun, cabaran itu berjaya diatasi dengan bantuan barisan pelakon veteran seperti Datuk Jalaluddin Hassan dan Raja Azrey. Selain mereka, filem ini turut dibintangi oleh Syazlie Syazz, Julia Larica, Firdaus Luthuffi, dan Zainal Isa.
Lebih menarik perhatian, The Keris turut menampilkan penampilan khas (cameo) daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Filem ini kini sudah mula menemui penonton di pawagam seluruh negara sejak 2 Julai semalam.
Berita berkaitan
July 3, 2026, 3:12 pm
Safwan Nazri rugi RM400,000, jadi mangsa 'scam' kontraktor kawan baik
July 2, 2026, 7:52 pm
Eksperimen sosial Isa Isarb dedah sikap warga asing beri rokok pada pelajar sekolah
July 1, 2026, 12:18 pm
Rita Rudaini berang dakwaan bakat sukan anak lelaki diwarisi Aidil Zafuan
June 30, 2026, 2:02 pm
Pempengaruh diugut bunuh lepas dedah 'sarang' Rohingya
June 26, 2026, 5:33 pm
Buku Aisyah Hijanah didakwa cipta ayat Al-Quran baharu, desak KDN ambil tindakan
June 25, 2026, 5:16 pm
Isu Nasi Ayam RM26, Neelofa dedah ibu berniaga suka-suka
June 25, 2026, 11:22 am
'Tak tahu kenapa burung memilih terbang’, Aslam titip pesanan lepas cerai
June 24, 2026, 1:54 pm
