Berita Politik
PRN Johor: 'You ingat you siapa? Apa salah DAP?' - Anwar
SEGAMAT 6 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua pihak perlu menghormati pilihan rakyat dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung mana-mana kaum atau parti politik, termasuk dakwaan enggan duduk semeja dengan DAP.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, sikap sedemikian tidak wajar kerana setiap rakyat berhak memilih parti yang diyakini dalam sistem demokrasi.
"Jadi orang besar, ini Cina DAP tak boleh duduk satu meja. Cakap ini tak baik. Lu (awak) jaga orang punya perasaan. Orang Cina mahu pilih DAP, DAP lah. You (awak) sakit hati apa pasal? You ingat you hero (wira) kah?
"You ingat you ada kuasa kah? Oh ini parti aku tak mau, ini saja boleh. Wah, you ingat you siapa? Saya tak setuju cara ini. Kita mesti raikan. Apa salah DAP?," katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama PMX di Kampung Jawa, di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi PKR Johor, Datuk Sri Dr Zaliha Mustafa serta calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Jalex Lee En Xiang dan Kemelah, Mohd Afif Abd Hamid.
Pada masa sama, Anwar turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa beliau dipengaruhi DAP atau sanggup menggadaikan prinsip demi kepentingan politik.
Presiden PKR itu menegaskan beliau telah melalui pelbagai ujian sepanjang karier politiknya, termasuk dipukul dan dipenjarakan, serta tidak pernah menjual maruah diri.
"Saya ditendang dipukul pun sudah kena, masuk jel pun sudah. You (awak) ingat saya mahu jual diri kah? Saya mahu jaga negeri ini. Saya mahu jaga Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan saya mahu negeri ini maju," katanya.
Mengulas pencapaian kerajaan, Anwar berkata pelbagai usaha telah dilaksanakan sejak beliau memegang jawatan Perdana Menteri, termasuk memperkukuh perpaduan rakyat serta meningkatkan kebajikan semua kaum.
"Perkara besar kita buat. Apa? Nombor satu, kita cuba bawa semua rakyat bersatu. Kita ingatkan orang Melayu, dia mahu sekolah-sekolah agama, sekolah Islam kita tingkatkan, kita bantu.
"Orang Cina, dia kata bagi pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), bagi peluang masuk universiti. Sejak merdeka, first time (pertama kali) kita bagi kepada UEC. Orang India, peruntukan sekolah Tamil, kemudahan kita tingkatkan. Ini kenyataan," katanya.
Berita berkaitan
October 29, 2026, 8:39 am
Isu kerusi MCA selesai secara harmoni, BN Melaka fokus pertahan 21 kawasan
October 28, 2026, 6:17 pm
MCA akur peruntukan dua kerusi PRN Melaka, jamin representasi kaum Cina diteruskan
October 27, 2026, 5:27 pm
MCA gesa BN runding semula agihan kerusi PRN
October 21, 2026, 12:17 pm
Bersatu gantung keahlian MB Perlis
October 18, 2026, 4:18 pm
Kemelut politik Negeri Sembilan tak beri kesan pada BN hadapi PRN Melaka
October 17, 2026, 6:23 pm
Nik Nazmi direhatkan 3 bulan daripada aktiviti rasmi BERSAMA
October 17, 2026, 1:42 pm
PAS terima hakikat BN bakal memimpin di Melaka
October 16, 2026, 9:54 am
PAS utamakan rundingan bersama UMNO, BN hadapi PRU16
October 7, 2026, 9:35 am
PAS Melaka nafi senarai tular calon empat kerusi DUN bagi PRN Melaka
September 29, 2026, 4:35 pm
