Berita Politik
'Kehadiran kamu menyusahkan kami' – Puad Zarkashi kesal anak dituduh jadi 'spy' masa kempen
RENGIT 7 Julai – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi meluahkan rasa kesal apabila kehadiran anaknya, Omar Hafidz untuk membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Senggarang tidak disambut baik oleh kepimpinan tempatan.
Mohd Puad mendedahkan, niat murni anaknya untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) bukan sahaja diperlekeh, malah dituduh sebagai 'spy' atau perisik kepada bapanya sendiri oleh segelintir Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian UMNO.
“Omar Hafidz ada menulis di Facebook dengan hati nurani dia. Bila dia nak membantu kempen di Senggarang, ada dalam kalangan AJK Bahagian UMNO kata ‘kehadiran kamu hari ini menyusahkan kami’ kerana mereka melihat imej saya. Ada juga yang kata, 'Kenapa datang? Kamu ini spy ayah kamu ke?' Macam mana anak muda nak menyertai UMNO jika kerja parti asyik menghukum kesetiaan orang?” soalnya ketika ditemui MalaysiaGazette pada satu majlis makan malam tertutup di sini, malam tadi.
Susulan insiden pahit itu, Mohd Puad menasihati anaknya agar tidak patah semangat dan menyamakan situasi tersebut dengan analogi dakwah yang sepatutnya mengajak, bukannya menghukum. Beliau bagaimanapun mengesahkan anaknya akan terus kekal setia bersama UMNO.
Dalam pada itu, Mohd Puad turut menepis dakwaan kononnya beliau keluar daripada UMNO sebelum ini kerana merajuk akibat anaknya tidak dinamakan sebagai calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit. Beliau menegaskan tindakan itu dibuat kerana tidak bersetuju dengan sistem dalam parti, bukannya isu peribadi.
“Saya bukan keluar kerana anak saya tidak tercalon, tetapi disebabkan sistem dalam UMNO itu sendiri. Ini bukan parti anak-beranak dan kami ada pendirian masing-masing. Saya menyediakan dia sebagai pelapis dari segi kualiti kepimpinan yang taksub kepada perjuangan, bukan taksub kepada ayahnya. Sebab itu bila saya meninggalkan parti, dia tidak ikut kerana masih yakin dengan perjuangan,” jelasnya.
Mohd Puad yang kini memilih untuk memberikan sokongan terbuka kepada calon Pakatan Harapan (PH) menegaskan, beliau mengambil keputusan keluar ketika UMNO sedang kuat atas dasar prinsip, berbeza dengan beberapa pemimpin lain yang kembali menyertai parti hanya selepas kedudukan parti itu kembali kukuh.
Berita berkaitan
October 29, 2026, 8:39 am
Isu kerusi MCA selesai secara harmoni, BN Melaka fokus pertahan 21 kawasan
October 28, 2026, 6:17 pm
MCA akur peruntukan dua kerusi PRN Melaka, jamin representasi kaum Cina diteruskan
October 27, 2026, 5:27 pm
MCA gesa BN runding semula agihan kerusi PRN
October 21, 2026, 12:17 pm
Bersatu gantung keahlian MB Perlis
October 18, 2026, 4:18 pm
Kemelut politik Negeri Sembilan tak beri kesan pada BN hadapi PRN Melaka
October 17, 2026, 6:23 pm
Nik Nazmi direhatkan 3 bulan daripada aktiviti rasmi BERSAMA
October 17, 2026, 1:42 pm
PAS terima hakikat BN bakal memimpin di Melaka
October 16, 2026, 9:54 am
PAS utamakan rundingan bersama UMNO, BN hadapi PRU16
October 7, 2026, 9:35 am
PAS Melaka nafi senarai tular calon empat kerusi DUN bagi PRN Melaka
September 29, 2026, 4:35 pm
