TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rampasan RM114 juta kes Jabatan Air Sabah masih dalam simpanan SPRM – Azalina

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 8 Julai – Wang tunai dan harta bernilai RM114 juta yang disita dalam siasatan kes rasuah membabitkan bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) pada 2016, disahkan masih berada dalam simpanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kesemua aset sitaan tersebut akan terus berada di bawah jagaan agensi penguat kuasa berkenaan sehingga proses rayuan perundangan di mahkamah dimuktamadkan sepenuhnya.

Menurut beliau, proses pelucuthakan dan pemindahan dana ke dalam Perbendaharaan Malaysia hanya akan dilaksanakan selepas perintah rasmi diperoleh daripada mahkamah yang lebih tinggi.

"Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen, pihak pendakwaan memohon supaya kesemua wang dan harta yang disita dilucuthakkan kepada kerajaan. Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan supaya permohonan pelucuthakan berkenaan ditangguhkan terlebih dahulu sehingga semua proses rayuan selesai.

"Sehubungan itu, pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi terhadap keseluruhan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen dan perkara berkenaan masih tertakluk kepada proses perundangan yang sedang berjalan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (GRS-Tuaran) yang meminta penjelasan mengenai kedudukan terkini wang rampasan RM114 juta tersebut, serta pelan tindakan kerajaan untuk mengembalikan dana berkenaan kepada kerajaan Sabah bagi tujuan menaik taraf infrastruktur bekalan air di negeri itu.

Sebagai rekod, kes yang tercetus pada 4 Oktober 2016 itu mencatatkan sejarah sebagai rampasan terbesar SPRM apabila mendedahkan skandal salah guna kuasa dan monopoli projek infrastruktur asas air bernilai RM3.3 bilion sejak tahun 2010.

Menerusi operasi khas 'Ops Water' Fasa Satu dan Dua, pihak berkuasa menahan beberapa individu utama termasuk bekas pengarah JANS, timbalannya, seorang akauntan, serta seorang usahawan bergelar Datuk. Pihak SPRM berjaya menemui wang tunai jutaan ringgit yang disembunyikan di dalam rumah, pejabat, dan kenderaan suspek.

Selain wang tunai, agensi itu turut menyita pelbagai aset mewah lain termasuk 127 keping geran tanah, 98 beg tangan mewah, 14 kilogram barang kemas, serta membekukan akaun simpanan tempatan dan luar negara yang membawa kepada nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah lebih RM180 juta.

+ - reset