Berita Berita
Pemandu lori maut serangan jantung sebelum undur rempuh Honda
KAJANG 8 Julai – Seorang pemandu lori warga tempatan disahkan maut akibat serangan jantung ketika sedang memandu, menyebabkan kenderaannya mengundur lalu merempuh sebuah kereta di Jalan Pintasan Kajang-Semenyih di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihak polis menerima laporan mengenai insiden membabitkan lelaki berusia 64 tahun itu kira-kira pukul 3.20 petang.
Siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Buloh menuju ke Semenyih sebelum kenderaannya hilang kawalan ekoran masalah kesihatan mendadak yang dialaminya.
“Akibat kejadian itu, lori yang dipandu mangsa telah mengundur lalu melanggar sebuah kereta jenis Honda di belakangnya yang dipandu oleh seorang wanita tempatan berusia 46 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Naazron, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang hari ini mengesahkan punca kematian pemandu lori berkenaan adalah disebabkan saluran jantung tersumbat.
Pihak polis mengklasifikasikan kes kematian tersebut sebagai kes kematian mengejut (SDR), manakala kes kemalangan jalan raya disiasat mengikut Peraturan 17 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya 1959 (LN 166/59).
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kajang, Inspektor Mohd. Raziman Rasid di talian 019-4565502.
Berita berkaitan
July 8, 2026, 4:42 pm
Kebakaran rumah teres: Lelaki OKU ditemukan maut terhidu asap tebal
July 8, 2026, 4:36 pm
Etnik Rohingya direman enam hari, disyaki rogol remaja perempuan 19 tahun
July 8, 2026, 4:13 pm
Dua beradik trauma, polis siasat kes buli dan serangan fizikal murid sekolah rendah
July 8, 2026, 3:14 pm
Murid tahun lima jatuh siling tingkat tiga ketika tangkap merpati
July 8, 2026, 10:09 am
PRN Johor: Lebih 300,000 pengundi luar dijangka pulang, LLM tangguh tutup lorong
July 8, 2026, 10:00 am
