TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Campak beg berisi methamphetamine RM1.8 juta ke laut sebelum lolos ke perairan antarabangsa

By
|
Kongsi
image

SUNGAI PETANI 8 Julai – Dua penyeludup bertindak nekad mencampakkan dua bagasi dan sebuah beg galas mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 35.95 kilogram (kg) bernilai RM1.796 juta ke dalam laut ketika dikejar pihak berkuasa di perairan Yan, bulan lalu.

Insiden yang berlaku berhampiran Pulau Telur kira-kira pukul 7 malam pada 14 Jun lalu itu melibatkan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang dinaiki dua lelaki tempatan yang sedang menuju ke perairan antarabangsa.

Pengarah Kastam Negeri Kedah, Wan Marini Wan Hamzah berkata, rampasan tersebut berjaya dilakukan oleh sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan Marin Tanjung Dawai yang sedang menjalankan rondaan rutin di kawasan berkenaan selepas mengesan pergerakan bot dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota kemudian menghampiri bot itu dan mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan, namun dua lelaki terbabit bertindak mencampakkan dua bagasi dan sebuah beg galas ke laut sebelum memecut laju ke arah perairan antarabangsa.

“Pasukan cuba mengejar bot tersebut, namun penyeludup sempat meloloskan diri. Hasil semakan ke atas dua bagasi dan beg yang dibuang itu menemukan sejumlah dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Cawangan Sungai Petani hari ini.

Menurut Wan Marini, siasatan lanjut kini giat dijalankan bagi mengesan bot serta mengenali pasti identiti individu yang terlibat, termasuk meneliti kemungkinan penglibatan rangkaian sindiket jenayah rentas sempadan.

“Berdasarkan modus operandi dan penggunaan bot fiber laju itu, kita percaya dadah tersebut mahu diseludup keluar dari negara ini melalui jalan laut. Siasatan lanjut turut mendapati dua lelaki yang berada di atas bot berkenaan dipercayai penduduk tempatan,” ujarnya.

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat, jika sabit kesalahan.

Beliau turut menegaskan bahawa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sentiasa komited memantau perairan negara sepanjang 24 jam melalui rondaan berkala bagi mengekang sebarang aktiviti penyeludupan haram seperti dadah, minuman keras, mercun, dan kenderaan yang bukan sahaja merugikan hasil negara tetapi juga mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

+ - reset