TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua beradik trauma, polis siasat kes buli dan serangan fizikal murid sekolah rendah

By
|
Kongsi
image

KOTA KINABALU 8 Julai – Polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan kes buli dan serangan fizikal membabitkan dua beradik di sebuah sekolah rendah di daerah ini, susulan laporan polis yang dibuat oleh bapa mangsa semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, laporan berkenaan dibuat selepas pengadu mendakwa anak-anaknya menjadi mangsa gangguan berterusan serta keganasan fizikal oleh seorang murid lelaki yang juga rakan sekelas mangsa.

Siasatan awal mendapati rentetan kejadian pertama dipercayai berlaku pada Isnin lalu (6 Julai), apabila mangsa pertama iaitu seorang murid perempuan berusia 12 tahun mendakwa telah ditendang di bahagian belakang kepala oleh suspek.

"Keesokan harinya, adik mangsa yang turut belajar di sekolah yang sama pula mendakwa ditendang pada bahagian perut oleh murid lelaki yang sama. Akibat kejadian itu, mangsa perempuan mengalami sakit kepala, manakala adiknya kini berada dalam keadaan trauma dan ketakutan," katanya semalam.

Menurut Syed Lot, pengadu turut mendedahkan bahawa suspek sering mengganggu kedua-dua anaknya sejak awal sesi persekolahan lagi melalui panggilan berunsur hinaan selain gangguan fizikal di dalam bilik darjah.

Pihak polis kini sedang giat menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti identiti penuh suspek selain merakam percakapan mangsa, saksi-saksi kejadian, guru, serta pihak pentadbiran sekolah bagi melengkapkan kertas siasatan.

"Pemeriksaan perubatan ke atas kedua-dua mangsa juga dijalankan bagi menentukan tahap kecederaan yang dialami. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 507(b) Kanun Keseksaan," jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan serta menjaga privasi identiti kanak-kanak yang terlibat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Movendran A/L Apoorvasamy di talian 018-5746310 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

+ - reset