TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Murid tahun lima jatuh siling tingkat tiga ketika tangkap merpati

By
|
Kongsi
image

KUALA NERANG 8 Julai – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah mengesahkan kejadian seorang murid lelaki tahun lima cedera parah selepas terjatuh ketika cuba menangkap burung di ruang siling tingkat tiga bangunan sebuah sekolah rendah di sini, petang semalam.

Menurut JPN Kedah, insiden tersebut berlaku selepas sesi persekolahan pagi tamat. Murid berkenaan dilaporkan telah pulang ke rumah terlebih dahulu sebelum hadir semula ke sekolah bagi mengikuti sesi Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebelah petang.

"Murid berkenaan telah mengalami kecederaan dan tindakan segera diambil oleh pihak sekolah dengan mendapatkan bantuan kecemasan sebelum mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi menerima rawatan lanjut," jelas JPN Kedah dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan di seluruh anggota badan termasuk patah di beberapa bahagian serta kecederaan pada tangan kiri. Selepas insiden, mangsa dilaporkan sempat sedar dan bangun seketika sebelum jatuh terbaring semula.

Mengulas lanjut, JPN Kedah menegaskan aspek keselamatan, kebajikan, dan kesejahteraan murid akan sentiasa menjadi keutamaan tertinggi. Pihak jabatan komited untuk menyediakan sokongan penuh dari aspek emosi, psikologi, khidmat bimbingan, serta kaunseling kepada mangsa dan keluarganya.

"Intervensi sokongan emosi juga akan diberikan kepada murid-murid lain di sekolah berkenaan bagi memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara," tambah kenyataan itu lagi sambil menyatakan pemantauan keselamatan di sekolah akan terus ditingkatkan secara berterusan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Mohd. Anuar Junoh mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada seorang guru pada pukul 4 petang semalam.

Siasatan awal pihak polis mendapati insiden berkenaan merupakan kemalangan sendiri tanpa sebarang unsur jenayah. Mangsa dikatakan telah memanjat ke ruang siling di tingkat tiga bangunan sekolah tersebut dengan menggunakan laluan pili bomba semata-mata untuk menangkap seekor burung merpati sebelum lantai siling itu runtuh.

+ - reset