Berita Politik
PRN Johor: Sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN kian meningkat – Asyraf Wajdi
JOHOR BAHRU 8 Julai – Momentum sokongan pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina dan India, terhadap Barisan Nasional (BN) dilaporkan terus menunjukkan trend peningkatan positif sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, indikator keyakinan itu diperoleh hasil siri jelajah pemantauan yang dilaksanakannya di hampir dua pertiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Johor sepanjang fasa berkempen.
"Saya tengok momentumnya kian meningkat dan yang paling menguja saya ialah dalam kalangan pengundi-pengundi bukan Melayu terutama pengundi Cina dan India. Mereka mengalu-alukan kehadiran calon dan pemimpin kita setiap kali kempen dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Himpunan Usahawan Johor yang berlangsung di Persada Johor International Convention Centre di sini hari ini.
Mengulas mengenai strategi jentera, Asyraf Wajdi menjelaskan bahawa BN kali ini sengaja mengurangkan penganjuran ceramah umum berskala mega. Sebaliknya, parti memilih pendekatan gerak kerja mikro menerusi kunjungan dari rumah ke rumah menggunakan khidmat sukarelawan pelbagai peringkat kerana kaedah itu terbukti jauh lebih berkesan.
Menurut beliau, jentera parti telah pun berjaya memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) pada minggu pertama kempen dengan menyantuni hampir keseluruhan kediaman di lokaliti masing-masing.
"Alhamdulillah saya boleh katakan minggu pertama mereka telah selesai pergi ke hampir semua rumah. Minggu yang kedua ini adalah untuk mereka sulam sahaja, mana-mana anak-anak (pengundi) yang baru balik (ke kampung halaman) dan sebagainya, itu yang paling mustahak sekali," jelasnya.
Memasuki fasa akhir kempen menjelang hari pengundian Sabtu ini, beliau menegaskan jentera BN akan melipatgandakan usaha untuk mendekati serta memujuk kumpulan pengundi atas pagar termasuk mereka yang tegar menyokong parti lawan.
"Kita nak pastikan jangan ada pun mana-mana batu yang tidak diterbalikkan. Maksudnya setiap pengundi tak kira mereka ini dianggap sebagai pengundi tegar lawan, sebenarnya akhirnya hati mereka ini dipegang oleh Allah SWT. Yang penting kita kena usaha, kita kena pujuk dan kita tawarkan kepada mereka apa yang kita nak buat," ujarnya lagi.
Berita berkaitan
October 29, 2026, 8:39 am
Isu kerusi MCA selesai secara harmoni, BN Melaka fokus pertahan 21 kawasan
October 28, 2026, 6:17 pm
MCA akur peruntukan dua kerusi PRN Melaka, jamin representasi kaum Cina diteruskan
October 27, 2026, 5:27 pm
MCA gesa BN runding semula agihan kerusi PRN
October 21, 2026, 12:17 pm
Bersatu gantung keahlian MB Perlis
October 18, 2026, 4:18 pm
Kemelut politik Negeri Sembilan tak beri kesan pada BN hadapi PRN Melaka
October 17, 2026, 6:23 pm
Nik Nazmi direhatkan 3 bulan daripada aktiviti rasmi BERSAMA
October 17, 2026, 1:42 pm
PAS terima hakikat BN bakal memimpin di Melaka
October 16, 2026, 9:54 am
PAS utamakan rundingan bersama UMNO, BN hadapi PRU16
October 7, 2026, 9:35 am
PAS Melaka nafi senarai tular calon empat kerusi DUN bagi PRN Melaka
September 29, 2026, 4:35 pm
