TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Lebih selamat berkawan dengan DAP, mereka ada integriti

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 10 Julai – “Mereka tuduh saya alat Cina. Beritahu apa yang saya serahkan kepada orang Cina? Apa yang saya buat sehingga dikatakan begitu?”

Menzahirkan isi hati yang sekian lama dipendam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan nada tegas namun tenang, mengakui beliau lebih selesa dan selamat menjalinkan kerjasama politik dengan DAP.

Bagi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) ini, ukuran utamanya bukan pada warna kulit atau nama parti, tetapi pada nilai prinsip dan integriti tinggi yang ditunjukkan oleh barisan kepimpinan parti tersebut—sesuatu yang disifatkannya jauh lebih baik berbanding parti berteraskan masyarakat Cina yang lain.

Bercakap di hadapan ribuan penyokong yang membanjiri program Grand Finale Harapan Johor Selatan di Puteri Wangsa semalam, Anwar memilih untuk meluahkan realiti landskap politik negara secara berterus-terang. Beliau menegaskan sudah tiba masanya Malaysia keluar daripada kepompong politik ketakutan dan perkauman yang sengaja dimainkan pihak tertentu untuk menyekat kemajuan negara.

“Negara ini boleh menjadi hebat dan selamat sekiranya kita menghentikan politik perkauman serta sikap pelampau. Bagi saya, lebih selamat, lebih baik dan lebih berintegriti berkawan dengan DAP daripada parti Cina mereka,” katanya.

Sambil ditemani calon PH DUN Puteri Wangsa, Dr. Maszlee Malik di atas pentas, Anwar turut menolak persepsi kononnya beliau membelakangkan bangsanya sendiri demi menjaga hati rakan sekutu. Malah, beliau membuktikan komitmennya dengan membentangkan rekod luar biasa Kerajaan Madani yang berjaya memulihkan kira-kira 50 hektar tanah rizab Melayu yang pernah terlepas ke tangan pihak lain suatu ketika dahulu.

“Ini kerajaan Madani. Kita bercakap terus terang. Kita pertahankan hak Melayu, tetapi pada masa sama, kita tidak akan sesekali menghalang pembangunan dan kemajuan masyarakat Cina,” jelasnya lagi, disambut sorokan gemuruh hadirin.

Sambil menyelami denyut nadi pendidikan anak bangsa, Anwar turut menyentuh mengenai kelulusan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan bantuan pelepasan cukai kepada Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT). Bagi beliau, isu pendidikan tidak sepatutnya dipolemikkan atau dijadikan modal politik sempit.

“Saya orang Melayu, berakar umbi dalam masyarakat Melayu, tetapi saya tidak pernah keberatan membantu TAR UMT kerana ia adalah institusi pendidikan rakyat Malaysia. Kalau pendidikan itu memberi manfaat kepada rakyat, sama ada Melayu atau Cina, mengapa perlu dipersoalkan?” soalnya lembut namun mendalam.

Di sebalik ketegasan itu, Anwar sempat berkongsi sisi diplomasinya yang teruji. Beliau mengakui selama ini lebih gemar mengambil pendekatan 'mengunci mulut' dan mengelak daripada mengulas perihal rakan sekutu demi menjaga keharmonian serta kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Namun, sebagai seorang pemimpin yang memikul amanah rakyat, beliau terpaksa tampil memberikan pencerahan sebenar selepas diasak dengan pelbagai kenyataan terbuka daripada pimpinan Barisan Nasional (BN), termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa kelulusan pelepasan cukai TAR UMT adalah hasil mutlak perjuangan MCA.

“Saya mahu kerajaan gabungan ini terus stabil dan berfungsi dengan baik. Tetapi apabila ada pihak dalam gabungan sendiri menyerang serta membuat pelbagai dakwaan, saya perlu memberi penjelasan yang adil kepada rakyat,” luahnya di penghujung bicara, mengharapkan sebuah landskap politik yang lebih matang demi masa depan negara.

+ - reset