Berita Berita
Tak tahan dibuli, pelejar 13 tahun nekad kejar rakan guna pisau pemotong kertas
ALOR GAJAH 10 Julai – Di sebalik kekecohan sebuah dewan terbuka sekolah yang bertukar cemas semalam, tersirat kisah duka seorang pelajar Tingkatan 1 yang nekad mengejar tiga rakannya dengan pisau pemotong kertas kerana mendakwa tidak tahan lagi menjadi mangsa buli.
Tragedi yang mencetuskan panik itu berlaku kira-kira jam 2.50 petang Khamis ketika satu program sekolah sedang berlangsung.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar mendedahkan, tindakan agresif remaja berusia 13 tahun itu tercetus selepas dia diprovokasi apabila dibaling ketulan ais secara berulang kali oleh dua pelajar lain berusia 13 dan 14 tahun.
Kerana terlalu berang dan tertekan, remaja terbabit mengeluarkan pisau daripada bekas pensilnya lalu mengejar salah seorang pembuli sejauh 50 meter sehingga ke kawasan surau sekolah. Dua lagi pelajar yang berada di situ turut melarikan diri ketakutan.
Bagaimanapun, situasi tegang itu berjaya dikawal selepas seorang guru bertindak berani memujuk dan menenteramkan emosi pelajar berkenaan sehingga dia akur untuk melepaskan senjata di tangannya. Tiada sebarang kecederaan fizikal dilaporkan berlaku.
Di sebalik tindakan nekad itu, siasatan polis membongkar sisi kelam yang memerlukan perhatian masyarakat—remaja berkenaan rupanya sedang bertarung dengan isu kesihatan mental.
“Keluarga pelajar itu telah dipanggil untuk membawanya pulang. Rekod menunjukkan dia sedang menerima rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Melaka, dengan sesi rawatan terakhirnya adalah pada 3 Jun lalu,” jelas Ahmad.
Pihak polis yang kini menyiasat kes di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan turut mendapati kesemua pelajar terlibat mempunyai rekod disiplin sejak awal tahun. Insiden ini menjadi satu lagi peringatan besar tentang impak buruk perbuatan buli, terutamanya kepada emosi anak-anak yang sedang rapuh.
Berita berkaitan
July 11, 2026, 9:57 pm
PRN Johor: Kemenangan besar BN suntik semangat baharu berkhidmat untuk rakyat – Onn Hafiz
July 11, 2026, 8:58 pm
Ahmad Zahid umum BN menang PRN Johor, pertahan mandat
July 11, 2026, 8:12 pm
TIDAK RASMI : Datuk Onn Hafiz Ghazi menang di DUN Machap
July 11, 2026, 7:34 pm
TIDAK RASMI: BN menang kiraan awal tentera, polis di 38 DUN - Setiausaha Agung UMNO
July 11, 2026, 5:46 pm
Onn dakwa berlaku kes 'undi hantu' di DUN Senggarang
July 11, 2026, 4:10 pm
PH dakwa ejen tempat mengundi diarah keluar di DUN Simpang Jeram
July 11, 2026, 3:50 pm
Isham Jalil sah masuk PAS
July 11, 2026, 3:27 pm
Imigresen tumpas sindiket pelacuran dalam talian, lapan individu ditahan
July 11, 2026, 3:15 pm
Hanya 42 peratus rakyat Johor keluar mengundi setakat 1 tengah hari tadi - SPR
July 11, 2026, 2:51 pm
