TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

"Mereka boleh tukar tiang gol bila-bila masa" – Ahmad Zahid ingatkan jangan terlalu percaya kenyataan Pas

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak agar tidak terlalu cepat mempercayai atau berasa yakin dengan sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Pas kerana mendakwa parti itu mempunyai rekod sering mengubah pendirian politik mereka pada bila-bila masa.

Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan bahawa setakat ini tiada sebarang ikatan atau perjanjian rasmi yang dimeterai antara Barisan Nasional (BN) dan Pas. Sebaliknya, sebarang interaksi yang berlaku sebelum ini hanyalah sekadar perbincangan biasa dan tidak diletakkan sebagai keutamaan parti.

“Apa yang dinyatakan itu tidak semuanya harus diterima sebagai satu kenyataan yang tepat kerana kita tidak ada sebarang perjanjian dengan Pas. Cuma kalau ada perbincangan pun sekadar persefahaman dan kita tidak mengutamakan sebarang perbincangan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Luncheon Bersama Kontinjen TVET@KKDW ke Pertandingan WorldSkills Shanghai 2026 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memetik pengalaman pahit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini sebagai bukti jelas bagaimana naratif dan janji yang dilaungkan oleh pemimpin Pas sebelum ini boleh berubah secara drastik apabila tiba hari penamaan calon dan proses pengundian.

“Jadi jangan positif sangatlah dengan mereka ini. Cuma kita harus bersangka baik sahaja, tetapi jangan terlalu positif. Mereka boleh tukar tiang gol bila-bila masa sahaja. Jadi saya anggap bahawa itu kenyataan politik oleh mereka,” seloroh beliau membidas sikap tidak konsisten parti berkenaan.

Beliau turut menambah bahawa dakwaan kononnya wujud rundingan pembahagian kerusi yang serius antara BN dan Pas tidak seharusnya dijadikan sandaran yang kukuh oleh mana-mana pihak kerana sejarah telah membuktikan banyak parti politik lain yang pernah menjadi mangsa pusingan 'u-turn' Pas.

“Itu sebab saya nyatakan, kata-kata mereka ini kita jangan pegang sangat sebab mereka boleh berubah. Banyak kali, banyak parti dah kena dengan mereka ini. Jadi saya harap mereka tidak berubahlah,” ujarnya lagi.

Kenyataan balas berbaur amaran daripada Ahmad Zahid ini menyusul selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan memberi bayangan halus bahawa wujudnya perbincangan awal mengenai kerjasama politik serta rundingan kerusi melibatkan kedua-dua parti tersebut menjelang PRN Negeri Sembilan yang akan datang.

+ - reset