Berita Sukan
"Once a Rhino, always a Rhino" – Sabah FC buat rombakan besar, 14 pemain sah tinggalkan Skuad Badak
KUALA LUMPUR 15 Julai – Sabah FC mengesahkan bakal berwajah baharu bagi menghadapi kempen Liga Malaysia musim 2026/2027 selepas mengumumkan perpindahan keluar beramai-ramai membabitkan seramai 14 pemain utama yang tamat kontrak selepas kempen musim 2025/26 berakhir.
Pengumuman mengejutkan itu dibuat menerusi satu kenyataan rasmi di laman sesawang serta platform media sosial pasukan, sekali gus menyaksikan nama-nama besar tempatan dan tonggak import dilepaskan oleh pengurusan kelab Borneo berkenaan.
Antara barisan pemain tempatan berpengalaman yang sah angkat kaki ialah penjaga gol veteran Khairul Fahmi Che Mat, Fergus Tierney, Gary Steven Robbat, S. Kumaahran, Jafri Chew, Maxsius Musa, Shahrol Nizam Rahman, Ritchie Svenson, dan Amir Jef Anjam.
Rombakan itu turut menyaksikan pembersihan besar-besaran kuota pemain asing apabila kesemua lima tonggak import musim lalu iaitu Gabriel Peres, Dean Pelekanos, Ernesto Phumipha, Belfort Kervensfils, dan Chris Ondong Mba tidak dilanjutkan kontrak.
“Once a Rhino, always a Rhino. Sabah FC ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pemain yang telah menjadi sebahagian penting dalam Skuad Badak. Segala pengorbanan, perjuangan dan sumbangan yang telah diberikan amat bermakna bagi kami. Ia akan sentiasa dikenang dan menjadi sebahagian daripada perjalanan Sabah FC,” tulis kelab itu dalam satu hantaran penghargaan.
Di sebalik kehilangan hampir separuh daripada kekuatan asal, Sabah FC bagaimanapun mengesahkan seramai 13 pemain sedia ada akan terus kekal menabur bakti di bawah panji The Rhinos untuk musim 2026/2027, termasuk dua pemain import.
“Still Rhinos. Kisah mereka belum selesai. Perjuangan Skuad Badak diteruskan untuk musim 2026/2027,” tambah kenyataan itu.
Senarai pemain yang dikekalkan terdiri daripada penjaga gol Damien Lim dan Ramzi Mustakim, selain tonggak pertahanan serta tengah seperti Rawilson Batuil, R. Dinesh, Dane Ingham, Harith Naem, Dominic Tan, Farhan Roslan, penyerang kebangsaan Darren Lok, Miguel Cifu, Rozacklye, Fakrul Iman, dan Rusdi Roslan.
Susulan perpindahan keluar secara besar-besaran ini, kem Sabah FC kini bertiup kencang dengan khabar angin perpindahan masuk apabila kelab itu diramal sedang memburu beberapa nama besar termasuk perancang tengah Halim Shaari dan pemain sayap lincah, Fayadh Zulkifli bagi memantapkan kembali cabaran Skuad Badak.
Berita berkaitan
July 17, 2026, 5:16 pm
Sepanyol mungkin hilang khidmat Lamine Yamal di pentas final?
July 17, 2026, 4:47 pm
JDT ikat gergasi Scotland Rangers FC 2-2 pada aksi pramusim di Sepanyol
July 17, 2026, 11:12 am
Dua jaringan Bergson hampir buat gergasi Scotland terduduk
July 16, 2026, 11:54 am
Selamat tinggal Noor Al-Rawabdeh, Selangor umum Peter Makrillos sebagai jeneral baharu
July 16, 2026, 6:02 am
Messi arkitek kebangkitan luar biasa Argentina mara ke final Piala Dunia 2026
July 15, 2026, 6:58 pm
Pernah buntu tuntut hutang RM108,000 dari KDA FC, Rosle Md Derus meninggal dunia
July 15, 2026, 5:31 am
Sepanyol mara ke final Piala Dunia 2026 lepas kunci Mbappe
July 12, 2026, 9:38 am
Bellingham bertaraf dunia!
July 10, 2026, 7:15 am
