TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

"Isyarat positif BN-PN" – Ismail Sabri puji pendekatan 'Rumah Bangsa' Zahid Hamidi menjelang PRN Negeri Sembilan

By
|
Kongsi
image

SUBANG JAYA 16 Julai – Keputusan Barisan Nasional (BN) mengumumkan 25 daripada 36 calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dilihat sebagai satu isyarat positif ke arah memperkukuh hubungan kerjasama politik bersama Perikatan Nasional (PN).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ismail Sabri Yaakob berkata, perkembangan terbaharu itu adalah selari dengan inisiatif gagasan 'Rumah Bangsa' yang pernah dicetuskan oleh Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

Menurut beliau, pengumuman bersyarat itu secara tidak langsung membayangkan naratif dan pendekatan politik baharu tersebut mula mendapat sambutan serta penerimaan yang baik daripada pimpinan tertinggi PN.

"Saya melihat pengumuman (calon BN) semalam sebagai satu pembaharuan dalam hubungan BN dan PN sepertimana disebut Presiden UMNO mengenai Rumah Bangsa dan menandakan pendekatannya semakin diterima.

"Saya percaya sekiranya hubungan antara BN dan PN kekal, ia akan membawa banyak kebaikan pada masa hadapan. Malah bukan sahaja mampu menyumbang kemenangan di Negeri Sembilan, tetapi juga (pilihan raya) di seluruh negara," katanya.

Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri ke-9 berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Perhubungan Awam Sedunia (WPRD) 2026 di Taylor's University di sini, hari ini.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Dekan Eksekutif Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Rekreasi Taylor's University, Profesor Dr. Neethiahnanthan Ari Ragavan serta Pengerusi PRactitioners, Datuk P. Kamalanathan.

Semalam, Ahmad Zahid membayangkan status jalinan kerjasama BN bersama rakan sekutunya untuk PRN Negeri Sembilan bakal dimutakhirkan dalam masa terdekat, di mana baki 11 lagi kerusi DUN yang sengaja dikosongkan akan diserahkan untuk ditentukan oleh parti rakan kerjasama tersebut.

Strategi itu turut disokong oleh kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengesahkan baki agihan kerusi terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada proses rundingan meja bulat bersama 'rakan' gabungan diselesaikan sepenuhnya.

+ - reset