TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Santai

Hari Ini 81 tahun lepas, letupan nuklear pertama dunia dijalankan di New Mexico

By
|
Kongsi
image

Tepat 81 tahun lalu, dunia memasuki era baharu apabila Amerika Syarikat berjaya menjalankan Ujian Trinity, iaitu ujian letupan senjata nuklear pertama dalam sejarah manusia pada 16 Julai 1945.

Ujian tersebut merupakan sebahagian daripada Projek Manhattan, program rahsia Amerika Syarikat yang bertujuan membangunkan bom atom ketika Perang Dunia Kedua. 

Projek berkenaan diketuai oleh beberapa tokoh saintis terkemuka, termasuk ahli fizik teori, J. Robert Oppenheimer yang sering digelar sebagai 'bapa bom atom'.

Oppenheimer mengetuai pasukan saintis di makmal Los Alamos, New Mexico, yang terdiri daripada ribuan penyelidik, jurutera dan pekerja dalam usaha menghasilkan senjata baharu berasaskan tindak balas nuklear.

Pada 16 Julai 1945, 5.29 pagi waktu tempatan, bom ujian yang diberi nama “Gadget” diletupkan di kawasan gurun Jornada del Muerto, New Mexico.

Letupan itu menghasilkan tenaga yang luar biasa sehingga membentuk awan cendawan gergasi dan gegaran yang dapat dirasai dari jarak jauh.

Menurut catatan, , kekuatan letupan tersebut dianggarkan sekitar 20 ke 25 kiloton TNT, jauh melebihi mana-mana senjata konvensional yang pernah dihasilkan sebelum itu.

Selepas melihat kejayaan ujian tersebut, Oppenheimer kemudian memetik ayat daripada kitab Hindu Bhagavad Gita yang terkenal,  “Now I am become Death, the destroyer of worlds”, bagi menggambarkan kebimbangan beliau terhadap kuasa besar teknologi nuklear yang telah dicipta.

Beberapa minggu selepas Ujian Trinity, senjata nuklear digunakan dalam peperangan buat pertama kali apabila Amerika Syarikat menjatuhkan bom atom ke atas Hiroshima pada 6 Ogos 1945 dan Nagasaki pada 9 Ogos 1945 di Jepun.

Peristiwa itu menyebabkan kemusnahan besar serta mengubah perjalanan sejarah dunia, selain menjadi antara faktor utama yang membawa kepada berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Selepas perang tamat, perkembangan senjata nuklear terus menjadi perhatian dunia apabila beberapa negara berlumba-lumba membangunkan teknologi sama. 

Sehingga kini, Ujian Trinity kekal sebagai simbol permulaan era nuklear yang membawa perubahan besar dalam bidang sains, ketenteraan dan hubungan antarabangsa.

+ - reset