Berita Santai
100 tahun Piala Dunia - Edisi 2030 bakal jadi lebih menarik
Oleh AZIM SAID
Selepas berakhirnya saingan Piala Dunia 2026, perhatian peminat bola sepak dunia kini mula beralih kepada edisi seterusnya yang bakal berlangsung pada 2030 dengan kejohanan itu dijangka menjadi antara yang paling bersejarah dalam sejarah pertandingan.
Piala Dunia 2030 akan menjadi edisi istimewa apabila buat pertama kali kejohanan terbesar bola sepak dunia akan melibatkan enam negara tuan rumah dari tiga benua.
Sepanyol, Portugal dan Morocco dipilih sebagai penganjur utama, manakala Argentina, Uruguay dan Paraguay turut diberi penghormatan untuk menganjurkan aksi pembukaan sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-100 Piala Dunia.
Lebih menarik, Uruguay bakal menjadi lokasi bersejarah apabila negara itu pernah menjadi tuan rumah dan juara edisi pertama Piala Dunia pada 1930.
Logo rasmi Piala Dunia 2030 yang membawa tema “Yalla Vamos 2030” turut mencerminkan identiti unik kejohanan tersebut.
Rekaan logo itu menggabungkan elemen utama daripada tiga rantau penganjur, dengan nombor 2030 menjadi simbol sambutan satu abad Piala Dunia.
Perkataan “Yalla” yang berasal daripada bahasa Arab membawa maksud ajakan seperti “mari” atau “ayuh”, manakala “Vamos” dalam bahasa Sepanyol dan Portugis juga membawa maksud seruan untuk bergerak bersama.
Gabungan kedua-dua perkataan itu menggambarkan semangat penyatuan antara budaya Arab, Eropah dan Amerika Selatan yang bakal menjadi sebahagian daripada Piala Dunia 2030.
Selain itu, penggunaan warna dalam logo turut melambangkan identiti negara-negara terlibat, dengan unsur warna yang dikaitkan dengan bendera serta budaya rantau berkenaan.
Piala Dunia 2030 bukan sekadar kejohanan bola sepak biasa, tetapi turut menjadi simbol sambutan satu abad sejarah pertandingan itu.
Edisi pertama Piala Dunia berlangsung pada 1930 di Uruguay dengan hanya 13 pasukan mengambil bahagian. Kini, selepas 100 tahun, kejohanan tersebut disertai 48 buah negara menjadi acara sukan paling berprestij di dunia.
Piala Dunia 2030 juga dijangka menyaksikan perubahan besar dalam landskap bola sepak dunia.
Selepas era pemain seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo yang menghiasi pentas Piala Dunia selama hampir dua dekad, peminat kini menantikan kemunculan generasi baharu.
Nama seperti Lamine Yamal, Erling Haalland, Kylian Mbappé dan beberapa bintang muda lain dijangka menjadi wajah baharu yang membawa cabaran untuk merebut trofi paling berprestij dalam bola sepak.
Persoalan utama menjelang 2030 ialah sama ada juara dunia baharu akan muncul atau kuasa besar seperti Argentina, Brazil, Perancis dan Sepanyol terus menguasai pentas antarabangsa.
Dengan perkembangan bola sepak di Asia dan Afrika, edisi 2030 juga berpotensi menyaksikan lebih banyak kejutan daripada pasukan yang sebelum ini dianggap sebagai 'underdog' seperti yang dibuktikan oleh Cape Varde dalam edisi tahun ini.
Selepas menyaksikan drama, emosi dan detik bersejarah dalam Piala Dunia 2030, peminat bola sepak kini mempunyai satu lagi sebab untuk menanti 2030 kejohanan yang bukan sahaja meraikan 100 tahun sejarah Piala Dunia, tetapi mungkin melahirkan legenda baharu dunia bola sepak.
Berita berkaitan
July 16, 2026, 3:12 pm
Hari Ini 81 tahun lepas, letupan nuklear pertama dunia dijalankan di New Mexico
July 16, 2026, 3:07 pm
57 tahun lalu hari Ini - Apollo 11 Dilancarkan, langkah pertama manusia menuju Bulan
July 15, 2026, 9:53 pm
4 maskot Sukan SEA Malaysia dari dulu hingga kini, setiap satu ada cerita tersendiri
July 10, 2026, 4:08 pm
Tun Dr Mahathir Mohamad - Seabad lebih perjalanan tokoh politik negara
July 9, 2026, 8:09 pm
Lebih 4 dekad selepas dilancarkan, Proton Saga kekal simbol kebanggaan negara
March 17, 2026, 4:08 pm
Anwar antara lima pemimpin politik pernah membintangi iklan raya
December 30, 2025, 1:28 pm
Rose Blackpink dinobat wanita tercantik dunia
December 10, 2025, 4:28 pm
