TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Santai

Ayam Lejen III kembali gegar Datum Jelatek 25-26 Julai ini, kumpul 8 jenama ayam 'lejen' Lembah Klang

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 21 Julai — Penganjur festival makanan terkenal, FriedChillies mengumumkan penganjuran semula festival ayam goreng terbesar tanah air, Ayam Lejen III yang bakal berlangsung pada 25 dan 26 Julai ini di Pusat Beli-Belah Datum Jelatek.

Memasuki penganjuran kali ketiga, festival dua hari yang masuk secara percuma itu menghimpunkan lapan jenama ayam popular dari sekitar Lembah Klang bagi meraikan kepelbagaian gaya masakan ayam—daripada Nashville Hot Chicken, ayam goreng tempatan, pressure fried, ayam bersos, kepak barbeku sehinggalah ke ayam golek panggang.

Lapan vendor utama yang bakal membuat kemunculan menerusi hidangan sampler khas eksklusif pada harga berpatutan merangkumi Fowlboys Diner (The MET Corporate Towers), Ayam Goreng Berhantu (Kampung Pandan Dalam), Supernomms Fried Chicken (AEON Mall Shah Alam), Ayam Masywi (Taman Gombak), Cowboys Barbecue & Grill (Ara Damansara), Muiz Hot Chicken (Bandar Seri Putra), Hot Bird (TRX, KL) dan Hott Chickk (TTDI).

Antara keunikan hidangan yang bakal ditawarkan termasuk Hot Bird yang mempertaruhkan enam tahap kepedasan sehingga ke cili Carolina Reaper, Fowlboys Diner dan Hott Chickk dengan resipi Nashville Hot Chicken tersendiri, Supernomms yang menggunakan teknik vacuum marination bersama 14 rempah ratus, serta hidangan Ayam Golek warisan sejak 1999 oleh Ayam Masywi.

Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies, Adly Rizal berkata, Ayam Lejen III ditubuhkan khas bagi memberi ruang kepada pencinta makanan tempatan untuk merasai serta menilai sendiri variasi masakan ayam terbaik di bawah satu bumbung.

"Ayam Lejen sentiasa menjadi platform untuk menghimpunkan jenama ayam terbaik Malaysia dalam satu lokasi. Ramai bertanya kepada kami, ayam goreng mana yang paling sedap? Jawapan kami sentiasa sama — datang dan tentukan sendiri," katanya dalam kenyataan media.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Datum Jelatek Shopping Centre, Zetty Rahim menzahirkan rasa bangga apabila sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah rasmi bagi penganjuran pusingan ketiga festival berkenaan yang disifatkan mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat menerusi makanan.

Selain tawaran set sampler dan menu promo istimewa, festival yang disokong oleh penaja rasmi EcoSafa, Tepung Bestari dan Salaam Cola itu turut dimeriahkan dengan aktiviti interaktif seperti sesi debat perbandingan ayam goreng, undian awam, pertandingan makan, serta hiburan pentas mesra keluarga.

Orang ramai yang berminat untuk hadir boleh berkunjung ke Pusat Beli-Belah Datum Jelatek dari jam 10 pagi hingga 10 malam, di mana lokasi berkenaan turut menyediakan kemudahan akses terus berbumbung menerusi stesen LRT Jelatek.

+ - reset