TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Santai

Orang ramai geli hati tengok gelagat pemandu tak jadi marah lepas kereta kena langgar

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 4 NOVEMBER - Lazimnya, insiden pelanggaran di atas jalan raya sering kali mencetuskan ketegangan, pertikaman lidah, malah ada kalanya berlarutan hingga ke peringkat fizikal. 
Namun, suasana tegang itu berputar 360 darjah apabila sebuah insiden kemalangan ringan baru-baru ini sebaliknya mempamerkan sisi harmoni yang menyentuh hati warga maya, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi lucu di media sosial.

Kejadian yang merakamkan detik spontan antara dua pemandu kenderaan itu membuktikan bahawa sifat pemaaf dan toleransi masih menebal dalam kalangan masyarakat kita. 

Imbas kembali, di kala penonton mengharapkan aksi dramatik atau perbalahan panas selepas kenderaan mereka dilanggar, kedua-dua individu terbabit sebaliknya memilih untuk meleraikan masalah dengan cara yang cukup unik.

"Dah biasa tengok orang eksiden bergaduh, bila tengok orang berpeluk ni rasa kekok pula," seloroh salah seorang pengguna media sosial yang terhibur dengan gelagat tidak dijangka itu.

Aksi mesra tersebut turut diibaratkan seperti pertemuan lama yang terpisah susulan sambutan yang cukup tenang dan harmoni. 

Malah, ada juga warganet yang berseloroh mencuit hati menerusi ruangan komen dengan nada berjenaka.

"Bang, lawan hukum ni. Mana boleh peluk-peluk, abang patut bertumbuk. Kemon! Orang langgar kereta abang kut," usik seorang netizen yang terkejut melihat penamat penuh diplomasi tersebut.

Insiden berkenaan jelas meninggalkan kenangan manis serta senyuman buat orang ramai, membuktikan bahawa pertembungan di atas jalan raya tidak semestinya dinoktahkan dengan kemarahan, sebaliknya kedamaian sentiasa menjadi penawar terbaik.

+ - reset