Berita Politik
Bersatu bertanding solo di 24 kerusi PRN Negeri Sembilan, tawar alternatif kepada pengundi
SEREMBAN, 21 Julai — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat keputusan untuk bertanding secara bersendirian di 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi menawarkan alternatif yang lebih baik kepada rakyat.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menjelaskan bahawa langkah itu diambil berikutan parti tersebut mahu mengekalkan dasar serta pendirian perjuangannya tanpa perlu dikaitkan dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) mahupun Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, keputusan bergerak secara solo itu dibuat selepas PAS bertindak mengenepikan Bersatu dalam rundingan agihan kerusi bersama UMNO, biarpun Bersatu merupakan antara parti politik Melayu-Islam utama di negara ini.
Sehubungan itu, beliau menafikan desas-desus mengenai sebarang kemungkinan parti itu akan bergabung dengan blok BN-PN.
“Bersatu berpandangan, ada baiknya kita menawarkan diri sebagai alternatif kepada PH dan BN-PN berikutan kedua-dua gabungan itu mempunyai isu tersendiri.
“Bersatu bertanding secara sendiri bagi membolehkan parti mengekalkan dasar, perjuangan dan pendirian tanpa perlu berkompromi dengan gabungan lain. Pada masa sama, Bersatu mahu memberi pilihan kepada rakyat supaya pengundi mempunyai alternatif,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi hari ini.
Tun Faisal, yang turut tampil sebagai calon Bersatu bagi DUN Sikamat, menegaskan bahawa partinya kekal berprinsip, bersikap sederhana, tidak ekstrem, serta sentiasa inklusif terhadap seluruh lapisan masyarakat.
Mengulas mengenai rekod perkhidmatan parti, beliau mengingatkan bahawa Bersatu mempunyai keutamaan yang tinggi terhadap kebajikan rakyat, terutamanya ketika mengendalikan pentadbiran negara sewaktu krisis pandemik Covid-19.
“Insya-Allah, Bersatu akan menampilkan tawaran penyelesaian lebih baik kepada soal pembangunan ekonomi negeri, pemerkasaan adat dan pembelaan rakyat, merangkumi aspek bebanan kos sara hidup, pekerjaan serta kebajikan,” jelas beliau lagi.
Berita berkaitan
September 10, 2026, 12:18 pm
PAU 2026: Sumbangan masa lalu tak cukup, UMNO perlu raih kepercayaan rakyat
September 10, 2026, 12:09 pm
PAU 2026: Kemenangan di Johor, Negeri Sembilan bukan untuk mendabik dada - Noraini
September 10, 2026, 11:48 am
PAU 2026: Puteri UMNO berhasrat jadi jambatan penyatuan Melayu
September 10, 2026, 11:36 am
PAU 2026: Puteri UMNO desak wanita muda diberi ruang memimpin, buat keputusan
September 8, 2026, 10:23 am
Penyatuan PAS, UMNO boleh dicapai jika ada kompromi agihan kerusi PRU16
September 7, 2026, 10:27 am
Fadhli Shaari persoal tindakan PH buat laporan polis berhubung isu dakwaan campur tangan AS
September 6, 2026, 9:58 pm
Ab Rauf diberi mandat pilih rakan boleh beri kemenangan PRN Melaka
September 6, 2026, 3:33 pm
BN komited pastikan kestabilan negara, Zahid tiada masalah dengan Anwar
September 6, 2026, 3:30 pm
Tiada keperluan bubar Parlimen selagi PM Anwar ada sokongan majoriti - DAP
September 5, 2026, 7:46 pm
