Berita Sukan
Wan Kuzain tunggu hampir sedekad untuk sarung jersi Harimau Malaya
KUALA LUMPUR 22 JULAI - Penantian hampir sedekad penyokong bola sepak tempatan akhirnya berakhir apabila pemain tengah kelahiran Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal, secara rasminya melaporkan diri dalam kem latihan skuad Harimau Malaya semalam.
Beliau yang menyertai sesi latihan kebangsaan petang semalam bersedia menyarung jersi negara buat kali pertama menjelang saingan ASEAN Hyundai Cup 2026.
Kehadiran tonggak berusia 27 tahun itu disahkan menerusi foto di platform rasmi Malaysia National Team.
Kuzain melaporkan diri sejurus menyelesaikan komitmen bersama kelabnya, Sporting JAX, yang beraksi dalam saingan USL Championship (divisyen dua AS).
Beliau tiba di tanah air membawa momentum positif selepas membantu kelab berkenaan mencatatkan keputusan tanpa kalah dalam dua aksi terakhir, termasuk menewaskan juara bertahan Pittsburgh Riverhounds SC sebelum diikat Brooklyn FC 2-2.
Penyertaan pemain berpengalaman itu sekali gus melengkapkan senarai 26 pemain yang dipanggil jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe, bagi menghadapi kejohanan serantau tersebut.
Kuzain merupakan salah seorang daripada dua pemain luar negara yang dipanggil Cheng Hoe kali ini, di samping bekas pemain PDRM FC yang kini berpangkalan di Jepun, Hadi Fayyadh Abdul Razak.
Kehadiran anak Melayu yang membina nama di AS itu dijangka memberi nilai tambah dan dimensi baharu kepada jentera tengah Harimau Malaya menerusi kreativiti, visi permainan, serta kebolehannya mengawal tempo dan melepaskan rembatan dari luar kotak penalti.
Sebelum ini, impian Kuzain untuk beraksi bersama skuad kebangsaan hampir menjadi kenyataan apabila dipanggil menyertai kem B-22 negara bagi persiapan Sukan SEA 2019 di Filipina.
Bagaimanapun, beliau terpaksa digugurkan pada minit akhir akibat isu dokumentasi berkaitan status kewarganegaraan.
Berita berkaitan
October 29, 2026, 8:50 am
Kecederaan Bergson resahkan kem Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan antarabangsa
October 17, 2026, 10:49 am
Dendam Jojo terbalas, berjaya tundukkan Diego Paez
October 9, 2026, 1:03 am
Pernah ledak 7 gol lawan Arab Saudi, kini Lim You kembali pamer jaringan padu kaki kiri
October 8, 2026, 5:20 pm
Pemain amatur Jepun kena tumbuk dengan 'goalkeeper' lepas jaring gol penalti di Malaysia
October 6, 2026, 1:19 pm
Harimau Malaya dijangka melonjak ke kedudukan ke-133 dunia dalam ranking FIFA
October 6, 2026, 1:02 pm
Pemandu F1 Valtteri Bottas kayuh basikal lebih 350km dari Sepang ke Singapura
October 2, 2026, 11:34 am
Masa tambahan 2 minit jadi 7 minit, FAM mohon penjelasan FIFA
October 2, 2026, 11:23 am
Pemain Harimau Malaya persoal kontroversi masa tambahan Indonesia
October 1, 2026, 12:33 pm
Arif Aiman terus curi perhatian, Cheng Hoe puji bakat dan kualiti teknikal luar biasa
September 29, 2026, 10:10 am
