Berita Politik
Strategi ugutan emosi politik ada 'tarikh luput' — Rafizi Ramli
SHAH ALAM, 22 Julai — Strategi politik yang kerap mendedahkan pengundi kepada naratif ketakutan dan ugutan emosi (emotional blackmail) setiap kali pilihan raya ditegaskan mempunyai 'tarikh luput' berikutan rakyat yang semakin matang serta kebal terhadap taktik sedemikian.
Presiden Parti Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli menjelaskan, corak kempen tradisional sebelum ini menyaksikan pengundi bukan Melayu sering didesak menyokong DAP dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghalang dominasi UMNO. Sebaliknya, pengundi Melayu pula digesa menyokong parti-parti Melayu seperti UMNO, Pas, dan Bersatu bagi menyekat pengaruh DAP dan PH.
Menurut beliau, taktik yang diguna pakai oleh pelbagai blok politik tersebut akhirnya akan sampai ke tahap law of diminishing returns, di mana impak dan keberkesanannya semakin merosot akibat kerap diulang.
"Sekarang BN pula membawa naratif yang sama. Jom bersatu. UMNO, Pas, Bersatu, Wawasan. Asalkan tiada DAP. Asalkan tiada PH. Mungkin mereka boleh menang.
"Tetapi kemenangan yang bergantung kepada ugutan emosi tidak akan bertahan lama. Sebab manusia akan sampai satu tahap, mereka mula kebal dengan ketakutan yang sama. Ugutan emosi ada tarikh luput," tegas beliau menerusi hantaran di media sosialnya hari ini.
Penubuhan Parti Bersama Sebagai Alternatif
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu memberitahu bahawa kesedaran terhadap kebuntuan budaya politik sedemikian menjadi pendorong utama kepada penubuhan Parti Bersama bagi menawarkan pilihan serta hala tuju baharu buat rakyat.
Mengulas mengenai kedudukan PH, Rafizi berpandangan keupayaan gabungan itu dalam mempertahankan moral high ground semakin terhakis berikutan tempoh pentadbiran yang lama serta berdepan pelbagai isu semasa dan kontroversi.
Lantaran itu, beliau berpendapat naratif lama yang bertumpu kepada ketakutan terhadap kepulangan tokoh-tokoh terdahulu kini semakin hilang pengaruhnya di mata pengundi.
"Sampai satu ketika, pengundi pun akan tanya... Apa bezanya?," katanya.
Berita berkaitan
October 29, 2026, 8:39 am
Isu kerusi MCA selesai secara harmoni, BN Melaka fokus pertahan 21 kawasan
October 28, 2026, 6:17 pm
MCA akur peruntukan dua kerusi PRN Melaka, jamin representasi kaum Cina diteruskan
October 27, 2026, 5:27 pm
MCA gesa BN runding semula agihan kerusi PRN
October 21, 2026, 12:17 pm
Bersatu gantung keahlian MB Perlis
October 18, 2026, 4:18 pm
Kemelut politik Negeri Sembilan tak beri kesan pada BN hadapi PRN Melaka
October 17, 2026, 6:23 pm
Nik Nazmi direhatkan 3 bulan daripada aktiviti rasmi BERSAMA
October 17, 2026, 1:42 pm
PAS terima hakikat BN bakal memimpin di Melaka
October 16, 2026, 9:54 am
PAS utamakan rundingan bersama UMNO, BN hadapi PRU16
October 7, 2026, 9:35 am
PAS Melaka nafi senarai tular calon empat kerusi DUN bagi PRN Melaka
September 29, 2026, 4:35 pm
