TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MARSAH nafi Mohd Fared dikaitkan dengan siasatan SPRM, tegaskan dakwaan sekadar rekayasa politik

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU, 23 Julai — Anak syarikat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), MARSAH Sdn Bhd menafikan keras sebarang dakwaan yang mengaitkan Pengerusi Lembaga Pengarahnya merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, MARSAH mengesahkan telah menerima makluman rasmi daripada pihak SPRM berhubung isu tatakelola, dakwaan kronisme serta siasatan yang dikaitkan dengan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).

Pihaknya memperincikan bahawa siasatan yang dijalankan oleh suruhanjaya berkenaan adalah tertumpu kepada seorang mantan pegawai MARSAH, dan bukannya terhadap Mohd Fared selaku Pengerusi Lembaga Pengarah.

"Justeru, tiada siasatan SPRM terhadap YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid selaku Pengerusi MARSAH," menurut kenyataan itu bagi menyangkal tohmahan yang disebarkan.

MARSAH turut menjelaskan bahawa pentadbiran KUIJSI sentiasa dikendalikan mengikut peruntukan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) serta perlembagaannya. Perlembagaan tersebut menetapkan pembahagian fungsi, bidang kuasa, dan akauntabiliti yang jelas antara Lembaga Pengarah MARSAH, Lembaga Pengelola, Senat, Jawatankuasa Pemilihan, dan Ketua Pegawai Eksekutif.

Syarikat itu menegaskan bahawa sebarang tohmahan atau tuduhan salah laku yang dilemparkan terhadap Mohd Fared merupakan satu bentuk rekayasa politik yang tersasar jauh daripada kenyataan dan fakta sebenar.

Bagi memperkukuh tadbir urus institusi berkenaan, MARSAH kini sedang menggiatkan pelan penyusunan semula struktur pentadbiran KUIJSI sebagai langkah persediaan mengangkat statusnya menjadi sebuah universiti penuh, sekali gus menutup ruang kepada sebarang bentuk kepincangan atau salah laku pada masa hadapan.

+ - reset