TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bekas anggota polis hilang selepas keluar sarapan ditemui meninggal dunia di kawasan paya

By
|
Kongsi
image

KEMAMAN, 23 Julai — Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu selepas keluar bersarapan ditemui meninggal dunia di Kampung Baru Neram 1, Cheneh, di sini hari ini.

Mayat mangsa, Abdullah Besar, 70, yang juga merupakan seorang bekas anggota Polis Hutan, dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan berhampiran paya pada jam 11.20 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh, Mohd. Hafiezul Mohamad memaklumkan bahawa lokasi penemuan mayat tersebut terletak kira-kira 600 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB) yang ditubuhkan bagi operasi pencarian berkenaan.

“Mangsa ditemukan pasukan penyelamat di kawasan paya berhampiran.

“Pegawai perubatan yang memeriksa mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan wujud kebimbangan mengenai keselamatan Abdullah selepas beliau tidak kembali ke rumah usai bersarapan di kedai berdekatan pada Ahad lalu.

Mohd. Hafiezul menambah, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman bagi tindakan serta proses bedah siasat selanjutnya.

+ - reset