TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Cadangan kerjasama PBN belum dibincang secara rasmi — Ahmad Zahid

By
|
Kongsi
image

GEORGE TOWN, 23 Julai — Cadangan untuk mewujudkan bentuk persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menerusi nama 'Perikatan Barisan Nasional' (PBN) disahkan belum pernah dibincangkan secara rasmi oleh kepimpinan kedua-dua gabungan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini cadangan berkenaan sekadar dibangkitkan menerusi retorik ucapan pentas kempen semata-mata.

Menurut beliau, sekiranya hasrat untuk membentuk kerjasama politik itu benar-benar serius, ia perlu dikemukakan menerusi saluran dan rundingan rasmi untuk diperhalusi secara cermat.

“Perkara itu hanya disebut dalam ucapan ketika kempen. Tiada sebarang perbincangan rasmi mengenainya.

“Kalau cadangan itu serius, adakan perbincangan secara rasmi dan perincikan terlebih dahulu. Jika sekadar disebut ketika kempen, ia perlu diperhalusi,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-Exco Luar Bandar (Mexclub) ke-61 di Teluk Bahang, di sini hari ini.

Terdahulu, Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara), Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan mencadangkan penjenamaan PBN bagi memudahkan pengundi memahami persefahaman antara PN dan BN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Isu boikot di DUN Klawang dalam proses penyelesaian

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO optimis bahawa desas-desus kebimbangan berhubung isu boikot dalam kalangan akar umbi parti di DUN Klawang dapat diselesaikan dengan berkesan sebelum hari pengundian.

Beliau memaklumkan perkara tersebut telah dibawa ke peringkat perbincangan bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, memandangkan DUN berkenaan berada di bawah kawasan Parlimen beliau.

“Saya telah berbincang dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dan perkara itu kini dalam proses penyelesaian. Kita masih mempunyai kira-kira sembilan hari sebelum hari pengundian dan saya percaya isu itu dapat diselesaikan,” jelas beliau.

Sebelum ini, kepimpinan UMNO DUN Klawang menerusi Penyelarasnya, Azmi Selamat menyuarakan bantahan berhubung khabar angin yang mendakwa parti itu bakal meletakkan calon luar—iaitu anak kepada seorang tokoh politik yang bukan ahli UMNO—untuk bertanding menggunakan lambang BN pada PRN 1 Ogos nanti.

+ - reset