TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemandu e-hailing OKU fail saman sivil terhadap pengiring VVIP, polis dan kerajaan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 23 Julai — Seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Ong Ing Keong, memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung insiden serangan oleh seorang anggota pengiring keselamatan kenamaan (VVIP) serta dakwaan salah kendalian laporan polis dan intimidasi yang dialaminya.

Ing Keong memfailkan saman berkenaan pada 10 Julai lalu menerusi guamannya dengan menamakan Lans Koperal Muhammad Taufik Ismail, Inspektor Che W Hashimi Rafsanjani Che W Raksan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara, dan Kerajaan Malaysia sebagai pihak defendan.

Mengikut penyataan tuntutan, kejadian berlaku pada 28 Mei 2024 ketika plaintif yang berusia 47 tahun berada di luar Hotel St Regis, Kuala Lumpur Sentral untuk mengambil empat orang penumpang. Semasa penumpang sedang memasuki kenderaan, beberapa individu mengarahkannya untuk mengalihkan kereta.

Plaintif mendakwa, sebaik sahaja semua penumpang berada di dalam kenderaan dan beliau bersiap sedia untuk beredar, defendan pertama (Muhammad Taufik) yang berpakaian preman secara tiba-tiba menumbuk mukanya melalui tingkap sebelah pemandu tanpa sebarang amaran mahupun provokasi.

Ekoran serangan terbabit, Ing Keong mengalami kesakitan pada bahagian muka, kecederaan tisu lembut, serta lebam di bawah bibir atas, di mana detik insiden berkenaan turut dirakam secara jelas menerusi kamera papan pemuka (dashcam) kenderaannya.

Selain dakwaan serangan fizikal, plaintif mendakwa haknya diprakarsai secara tidak wajar sewaktu berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Travers. Telefon bimbitnya didakwa diambil oleh pihak polis dan hanya akan dipulangkan sekiranya beliau bersetuju menarik balik laporan polis serta memadam rakaman video kejadian.

Plaintif yang bergantung sepenuhnya pada telefon bimbit untuk berkomunikasi dan bekerja mendakwa tidak disediakan perkhidmatan jurubahasa isyarat, selain ditekan oleh defendan kedua (Hashimi) untuk menarik balik laporan dengan tawaran pampasan RM800. Terpaksa bersetuju akibat bimbang perantinya dirampas, plaintif bagaimanapun memaklumkan kepada pihak polis pada keesokan harinya bahawa beliau mahu siasatan diteruskan.

Menerusi saman tersebut, Ing Keong menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, dan ganti rugi teladan atas dakwaan serangan, kecuaian, salah guna kuasa jawatan awam, serta pelanggaran tanggungjawab statutori di bawah Akta Polis dan Akta Orang Kurang Upaya.

Untuk rekod, pada 4 November 2024, Mahkamah Majistret telah pun menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadap Muhammad Taufik selepas beliau mengaku bersalah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas pertuduhan sengaja mencederakan plaintif. Insiden berkenaan sebelum ini turut mendapat perhatian Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, yang menegaskan agar institusi diraja tidak dikaitkan secara tidak wajar dengan kejadian terbabit.

+ - reset