TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lebih 40,000 penjawat awam berisiko alami masalah mental, termasuk cubaan bunuh diri

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 23 Julai - Kerajaan memperhebat usaha menangani isu kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam selepas kajian MyPsych mengenal pasti lebih 40,000 kakitangan awam mempunyai kecenderungan ke arah tingkah laku negatif termasuk cubaan membunuh diri.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, semua ketua jabatan diarahkan bekerjasama rapat dengan pegawai psikologi bagi melaksanakan intervensi awal terhadap individu yang dikenal pasti berisiko.

Menurutnya, tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan masalah kesihatan mental menjadi lebih serius sehingga membawa kepada kejadian yang tidak diingini.

"Langkah intervensi dilaksanakan sesegera mungkin di setiap jabatan dan kementerian. Kita bimbang jika perkara ini tidak ditangani segera, ia boleh merebak dan akhirnya berlaku perkara yang tidak diingini.

"Perkara ini perlu ditangani sebaik mungkin supaya pegawai kita bebas daripada isu kesihatan mental dan dapat terus memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Dialog Aspirasi Perkhidmatan Awam MADANI Negeri Sembilan Siri 2 Tahun 2026 di sini, hari ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata, kerajaan bukan sahaja memberi perhatian kepada individu yang mengalami tekanan, malah turut meneliti faktor organisasi seperti persekitaran dan budaya kerja yang berpotensi menjadi punca kepada masalah kesihatan mental.

Sehubungan itu, katanya, program Happy at Work diperkenalkan bagi menggalakkan ketua jabatan mewujudkan suasana kerja yang lebih kondusif, positif dan menyeronokkan bagi mengurangkan risiko tekanan dalam kalangan penjawat awam.

Beliau berkata, walaupun tinjauan terkini menunjukkan sedikit peningkatan bilangan penjawat awam yang dikenal pasti berisiko, pihaknya yakin langkah intervensi segera termasuk sesi kaunseling secara individu mampu membantu mengurangkan masalah berkenaan.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Dahlan menyeru seluruh penjawat awam meningkatkan produktiviti, komitmen dan budaya kerja berprestasi tinggi bagi memastikan setiap dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan.

Katanya, pelbagai inisiatif kebajikan yang disediakan kerajaan perlu dibalas dengan peningkatan prestasi serta sokongan terhadap Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.

"Rakyat kini mahukan urusan yang lebih cepat, mudah, telus dan mesra pelanggan. Reformasi perkhidmatan awam bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan.

"Rakyat tidak sepatutnya dibebankan dengan urusan kaunter yang berulang-alik dan tempoh menunggu yang panjang," katanya.

Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan memberi mandat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menerajui pembangunan Akta ILTIZAM Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867) sebagai pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap dan berkesan.

Pada masa sama, beliau turut memuji Kerajaan Negeri Sembilan yang terus melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan kepada penjawat awam, termasuk menyediakan skim pinjaman komputer peribadi dan kenderaan tanpa faedah.

+ - reset