Berita Politik
'Amaran Zahid tak dipeduli' – Chong Zhemin dakwa PAS sebenarnya kuasai BN-PN
KUALA LUMPUR, 26 Julai – Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin mendakwa kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membuktikan PAS kini lebih dominan dalam menentukan hala tuju politik gabungan itu, manakala kepimpinan BN dilihat gagal mengawal naratif yang dibawa sekutunya.
Menurut beliau, kenyataan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang menyifatkan teguran Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai pandangan peribadi menunjukkan amaran itu tidak dipedulikan oleh PN.
Katanya, tindakan Samsuri yang membenarkan Sanusi terus berkempen di Negeri Sembilan jika mempunyai kelapangan sekali gus menggambarkan PAS tidak terikat dengan pendirian atau garis panduan yang ditetapkan BN.
"Keadaan ini menunjukkan PAS yang menentukan hala tuju kempen dan naratif politik, manakala BN hanya bertindak balas terhadap kontroversi yang tercetus serta menanggung kesan politik daripadanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chong berkata, kenyataan Sanusi sebelum ini yang mengaitkan kaum Cina dengan China, kaum India dengan India dan orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu disifatkan sebagai kenyataan yang memecahbelahkan masyarakat.
Beliau mendakwa sehingga kini Sanusi bukan sahaja enggan menarik balik kenyataan itu atau memohon maaf, malah mempertahankannya sebagai kenyataan berasaskan fakta serta mengancam tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengkritiknya.
Dalam pada itu, Chong mengakui beberapa pemimpin BN termasuk Ahmad Zahid, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said telah menolak kenyataan Sanusi.
Bagaimanapun, menurutnya, bantahan itu tidak membawa sebarang makna sekiranya BN masih meneruskan kerjasama dengan PN dan PAS sepanjang kempen pilihan raya.
Beliau turut mendakwa dakwaan bahawa BN mampu menyederhanakan PAS melalui kerjasama politik tidak lagi relevan kerana situasi semasa menunjukkan PAS semakin berpengaruh dalam menentukan pendekatan kempen dan naratif yang digunakan.
Sehubungan itu, Chong menggesa pengundi di Negeri Sembilan supaya menolak kerjasama BN-PN pada pilihan raya kali ini kerana, menurutnya, sokongan kepada BN akan mengukuhkan kerjasama tersebut serta membuka ruang kepada pengaruh PAS yang lebih besar dalam menentukan hala tuju politik gabungan berkenaan.
Berita berkaitan
October 29, 2026, 8:39 am
Isu kerusi MCA selesai secara harmoni, BN Melaka fokus pertahan 21 kawasan
October 28, 2026, 6:17 pm
MCA akur peruntukan dua kerusi PRN Melaka, jamin representasi kaum Cina diteruskan
October 27, 2026, 5:27 pm
MCA gesa BN runding semula agihan kerusi PRN
October 21, 2026, 12:17 pm
Bersatu gantung keahlian MB Perlis
October 18, 2026, 4:18 pm
Kemelut politik Negeri Sembilan tak beri kesan pada BN hadapi PRN Melaka
October 17, 2026, 6:23 pm
Nik Nazmi direhatkan 3 bulan daripada aktiviti rasmi BERSAMA
October 17, 2026, 1:42 pm
PAS terima hakikat BN bakal memimpin di Melaka
October 16, 2026, 9:54 am
PAS utamakan rundingan bersama UMNO, BN hadapi PRU16
October 7, 2026, 9:35 am
PAS Melaka nafi senarai tular calon empat kerusi DUN bagi PRN Melaka
September 29, 2026, 4:35 pm
