TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tiada siapa yang kebal' - Tengku Permaisuri Selangor titah tindakan tegas terhadap pelaku kekejaman haiwan

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 1 Ogos – Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin menzahirkan rasa amat dukacita, kecewa dan marah terhadap insiden kekejaman terhadap haiwan peliharaan serta haiwan terbiar, khususnya anjing dan kucing, yang masih berlaku dan tular sejak kebelakangan ini.

Selaku Penaung Diraja kepada inisiatif Stray Free Selangor (SFS) di bawah kelolaan SPCA Selangor, Baginda bertitah, perbuatan menyiksa, mencederakan, membunuh atau memperlakukan haiwan secara kejam bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang, malah mencerminkan kegagalan mempertahankan nilai belas ihsan sesama makhluk dan kemanusiaan yang menjadi asas kepada sebuah masyarakat bertamadun.

Baginda menegaskan bahawa tiada sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan akan diterima atau ditoleransi tanpa mengira siapa pelakunya, jawatan, bangsa, agama atau apa juga alasan yang diberikan.

Titah Baginda, pendirian itu terpakai kepada semua pihak sama ada individu, organisasi, syarikat, agensi kerajaan mahupun pihak berkuasa kerana tiada sesiapa berada di atas undang-undang.

Menurut Baginda, mana-mana pihak yang didapati melakukan kekejaman terhadap haiwan perlu disiasat secara menyeluruh dan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya, termasuk sekiranya perlakuan itu dilakukan oleh anggota atau pegawai pihak berkuasa sendiri.

Baginda bertitah, kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan hanya dapat dipelihara apabila setiap tindakan dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan penuh belas ihsan, bukannya melalui kekerasan yang tidak perlu atau tindakan yang mengundang penderitaan kepada haiwan.

Sehubungan itu, Baginda mengulangi cadangan supaya kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi berkaitan serta masyarakat berganding bahu memperkukuh usaha melindungi kebajikan haiwan.

Antara usaha yang disarankan ialah mewujudkan komuniti yang berbelas ihsan terhadap haiwan, memperkukuh kerjasama antara kerajaan, PBT, pertubuhan kebajikan haiwan dan masyarakat, serta menterjemahkan nilai belas ihsan melalui usaha penyelamatan, rawatan, pengurusan dan perlindungan haiwan secara berperikemanusiaan.

Selain itu, Baginda mahu kebajikan haiwan dijadikan sebahagian daripada usaha membina komuniti yang lebih bertanggungjawab, prihatin dan bertamadun, memastikan nilai belas ihsan menjadi asas kepada setiap dasar berkaitan pengurusan haiwan serta menyemai kesedaran bahawa setiap nyawa berhak dihargai.

Baginda turut menekankan kepentingan membudayakan sifat kasih sayang terhadap haiwan sejak usia muda menerusi pendidikan, kesedaran awam dan penglibatan komuniti, di samping menjadikan prinsip "Compassion. Care. Community." sebagai nilai bersama dalam membentuk masyarakat yang lebih penyayang dan berperikemanusiaan.

Baginda bertitah, cara manusia melayan haiwan mencerminkan nilai kemanusiaan sesebuah masyarakat.

"Sebuah masyarakat yang gagal menunjukkan belas ihsan kepada makhluk yang paling lemah akhirnya akan kehilangan nilai belas ihsan terhadap sesama manusia," titah Baginda.

Tengku Permaisuri Selangor turut berharap semua pihak mengambil iktibar daripada insiden yang berlaku dan bersama-sama memastikan Selangor menjadi negeri yang menjunjung tinggi nilai ihsan, keadilan serta tanggungjawab terhadap semua makhluk ciptaan Allah SWT.

Pada masa sama, Baginda menyeru Kerajaan Persekutuan mengkaji semula hukuman di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 supaya hukuman terhadap pelaku kekejaman haiwan diperketatkan dan dikuatkuasakan secara lebih konsisten.

"Sifat belas ihsan bukanlah tanda kelemahan. Sebaliknya, kemampuan melindungi makhluk yang paling lemah adalah ukuran sebenar kekuatan, kematangan dan ketamadunan sesebuah masyarakat," titah Baginda.

+ - reset