TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN N Sembilan: Pemuda kecewa gagal mengundi, dakwa nama sudah ditanda selesai mengundi

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 1 Ogos - Hasrat seorang penuntut untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama tidak kesampaian apabila dia mendakwa tidak dibenarkan mengundi selepas namanya dikatakan telah ditanda sebagai selesai mengundi.

Afif Hakimi Razali, 20, yang tiba di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang di sini pada Sabtu berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa namanya telah dipotong walaupun dia belum membuat undian.

"Saya tiba di pusat mengundi pada jam 12 tengah hari dan sebaik sahaja menunjukkan kad pengenalan, saya diberitahu nama saya telah dipotong.

"Saya terkejut kerana saya belum lagi mengundi. Saya cuba mendapatkan penjelasan daripada petugas di situ, tetapi mereka tidak dapat memberikan penjelasan lanjut dan meminta saya pulang sahaja," katanya ditemui Sinar Harian bersama bekas gurunya, Zulkifli Muhamed di Senawang di sini pada Sabtu.

Menurut pelajar Politeknik Port Dickson itu, petugas terbabit turut memintanya membuat laporan polis sekiranya tidak berpuas hati.

Afif berkata, dia kemudian menghubungi ibu serta bekas gurunya untuk mendapatkan pandangan sebelum bersedia berkongsi perkara itu dengan media.

"Saya sedih kerana tidak dapat mengundi buat kali pertama. Saya memang bersemangat dan sudah menunggu saat ini sejak seminggu lalu.

"Saya rasa berlaku kesilapan kerana semakan pada dua buku rekod senarai nama pengundi mendapati, nama saya hanya ditanda pada satu buku saja," katanya.

Anak sulung itu berkata, dia hadir bersendirian ke pusat mengundi kerana ibu bapa serta adik lelakinya mengundi di pusat mengundi lain.

Menurutnya, dia tidak menyangka pengalaman pertama sebagai pengundi berakhir dengan kekecewaan apabila tidak dapat menunaikan haknya sebagai rakyat Malaysia.

"Saya akan membuat laporan mengenai perkara ini kerana mahu menegakkan kebenaran.

"Saya tidak akan biarkan perkara ini begitu sahaja kerana saya rasa hak saya sebagai pengundi telah dinafikan dan berharap perkara seperti ini tidak akan berulang kepada orang lain," katanya.

Sementara itu, Zulkifli meluahkan rasa kesal dengan kejadian itu selain mempersoalkan peranan petugas SPR yang dilihat seolah-olah cuba lepas tangan.

"Dia datang dengan kad pengenalannya dan belum pun mengundi. Sepatutnya petugas membantunya selain berikan kenyataan lebih jelas.

"Saya bimbang jika perkara seperti ini dibiarkan akan memberi kesan kepada dia selepas ini yang mungkin akan hilang kepercayaan kepada sistem SPR," katanya.

+ - reset