Berita Politik
Selepas Negeri Sembilan, gelombang 'biru-biru pekat' akan menular ke Melaka - Ahmad Zahid
Oleh AZRUL RADI
SEREMBAN, 1 Ogos — Kepimpinan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada seluruh pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sekali gus memberi kepercayaan untuk kedua-dua gabungan menerajui semula pentadbiran Kerajaan Negeri.
Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera, calon-calon yang bertanding, rakan komponen BN, Friends of BN, serta rakan komponen PN. Penghargaan sama ditujukan kepada para sukarelawan, organisasi bukan kerajaan (NGO), dan penyokong dari seluruh negara yang bekerja keras sepanjang tempoh kempen.
Beliau berikrar bahawa pentadbiran baharu ini akan segera memulakan tugas bagi membentuk kerajaan negeri yang stabil dan berwibawa demi menyelesaikan isu rakyat serta mempertingkatkan kemakmuran Negeri Sembilan.
"Tugas kami bermula daripada malam ini. Setiap aku janji di dalam manifesto insya-Allah mesti dilunaskan demi kepentingan rakyat dan Negeri Sembilan. Manifesto ini merupakan aku janji kami kepada rakyat dan akan menjadi panduan utama untuk pentadbiran negeri," tegas beliau.
Ahmad Zahid menambah bahawa mandat yang diperoleh mencerminkan sokongan padu daripada pelbagai kaum, latar belakang, serta warga keselamatan. Beliau menyifatkan keputusan tersebut sebagai bukti rakyat mahukan kestabilan, selain membawa kesinambungan bagi pergerakan politik gabungan berkenaan.
"Mandat dan keputusan ini akan turut membawa satu gelombang bagi kami meneruskan gelombang biru dan biru pekat yang telah bermula di Negeri Johor. Insya-Allah, ianya akan menular ke Negeri Melaka," katanya.
Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan seluruh kepimpinan dan jentera agar tidak leka atau angkuh dengan kejayaan tersebut, sebaliknya perlu membalas keyakinan rakyat menerusi prestasi kerja dan perubahan nyata yang dapat dirasai.
Dalam ucapan berkenaan, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan media serta pengamal media sosial atas liputan yang diberikan, di samping meraikan kemenangan pemimpin utama termasuk Pengerusi Barisan Nasional Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Berita berkaitan
August 1, 2026, 8:57 pm
BN, PN bentuk kerajaan Negeri Sembilan secara tidak rasmi
August 1, 2026, 8:48 pm
Keputusan tidak rasmi: Anthony Loke tewas kepada MCA
July 31, 2026, 10:06 am
PH sasar sekurang-kurangnya 19 kerusi pada PRN Negeri Sembilan
July 31, 2026, 9:57 am
Aminuddin gesa calon PH bermunajat, mohon petunjuk jelang hari pengundian PRN
July 29, 2026, 11:15 am
Ramalan pilihan raya tidak bererti, pengundi penentu sebenar PRN Negeri Sembilan - Fahmi Fadzil
July 26, 2026, 4:17 pm
'Amaran Zahid tak dipeduli' – Chong Zhemin dakwa PAS sebenarnya kuasai BN-PN
July 26, 2026, 4:12 pm
Belum ada perbincangan berkaitan PRU – Zahid
July 26, 2026, 9:39 am
PRN Negeri Sembilan: Zahid tepis dakwaan Muhyiddin, yakin keserasian BN-PN kekal utuh
July 25, 2026, 8:39 pm
