Berita Berita
KPM percepat pembinaan sekolah baharu, persediaan hadapi pertambahan murid - Fadhlina
PUNCAK ALAM 5 Ogos - Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus mempergiat pembinaan sekolah baharu bagi menampung pertambahan bilangan murid serta memastikan pelaksanaan penuh kurikulum baharu dan Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah berjalan lancar mulai tahun depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kerajaan kekal komited menambah pembinaan sekolah menerusi perancangan dan peruntukan tahunan bagi memenuhi keperluan masyarakat terhadap kemudahan pendidikan yang lebih kondusif.
Menurut beliau, tahun depan merupakan tempoh penting susulan pertambahan kemasukan murid Tahun Satu yang memerlukan penyediaan fasiliti pendidikan mencukupi dan selamat.
"Kita cukup bertegas dalam soal pembinaan sekolah. Saban tahun kita lihat dalam bajet dan perancangan, pembinaan sekolah terus ditambah kerana kita maklum keperluan masyarakat.
"Tahun depan adalah tahun yang sangat penting dengan kemasukan dan pertambahan anak-anak enam tahun ke Tahun Satu. Jadi fasiliti kita mesti kondusif," katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah SJKC Eco Grandeur di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han serta Pengerusi Eco World Foundation, Lee Lam Thye.
Fadhlina berkata, selain pembinaan sekolah baharu, tahun depan turut menyaksikan pelaksanaan penuh kurikulum baharu melibatkan murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu.
Katanya, pelaksanaan itu selaras dengan usaha memperkukuh sistem pendidikan negara melalui penyediaan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selamat.
Beliau berkata, Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah juga akan menjadi antara fokus utama KPM bagi memastikan tiada murid tercicir daripada sistem pendidikan.
"Hasrat kita adalah memastikan setiap anak mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya dan tiada yang terpinggir daripada sistem pendidikan negara," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan setiap sekolah tanpa mengira aliran atau jenis perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan potensi murid.
"Tidak kiralah sekolah itu sekolah apa pun atau jenis apa pun, aspirasi dan hasratnya adalah untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak kita.
"Kita tidak boleh melihat sekolah secara terpisah-pisah. Apa sahaja agenda pendidikan, itulah komitmen Kerajaan MADANI dan kita mesti mengangkat setiap sekolah kerana anak-anak mempunyai potensi yang pelbagai," katanya.
Fadhlina turut menyifatkan kerjasama sektor awam dan swasta dalam pembinaan sekolah sebagai model terbaik yang wajar diperluaskan bagi memperkukuh pembangunan pendidikan negara.
Menurutnya, inisiatif EcoWorld bersama jawatankuasa sementara pembinaan SJK (C) Eco Grandeur menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membuktikan kerjasama strategik mampu menyediakan kemudahan pendidikan berkualiti kepada masyarakat.
"Sekolah tidak akan berjaya tanpa sistem sokongan yang kuat, pentadbiran baik, disiplin serta guru memberi tumpuan kepada pembelajaran. Semoga pembinaan SJK (C) Eco Grandeur berjalan lancar dan melahirkan generasi yang akan membina negara serta masa depan," katanya.
Berita berkaitan
August 6, 2026, 12:14 pm
BN mahu kekal tanding 21 kerusi di Melaka, terbuka runding dengan parti lain - Ahmad Zahid
August 6, 2026, 10:42 am
'Orang ramai akan sokong Anwar jika henti guna perkataan 'kuil haram' - MAHIMA
August 6, 2026, 10:22 am
Pencuri tabung masjid 5 tahun dipenjara 69 bulan
August 6, 2026, 8:02 am
Jururawat diugut bekas kekasih: Video intim disebar selepas putus hubungan
August 6, 2026, 7:56 am
Setpol PM dilantik Penyelaras Parlimen Ampang
August 6, 2026, 7:48 am
Pasangan suami isteri hilang isu hutang kutu serah diri, direman pagi ini
August 5, 2026, 9:54 pm
