TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Belum muktamad lagi, Malaysia tak jadi hantar pulang 5,000 Rohingya ke Myanmar jika ada risiko dizalimi, nyawa terancam - Fahmi

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 6 Ogos - Kerajaan akan meneliti secara menyeluruh mekanisme penghantaran pulang 5,000 pelarian Myanmar, termasuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan junta Myanmar bagi memastikan aspek keselamatan dan kebajikan mereka terjamin sebelum sebarang keputusan dibuat.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu sedang diperhalusi oleh Kementerian Luar (Wisma Putra) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), termasuk proses mengenal pasti pelarian yang terbabit.

Beliau menegaskan Malaysia tidak akan menghantar pulang mana-mana pelarian sekiranya terdapat risiko mereka akan dizalimi atau nyawa mereka terancam apabila kembali ke negara asal.

“Perkara ini sedang diteliti oleh Wisma Putra dan juga Kementerian Dalam Negeri, yang mana 5,000 orang pelarian Myanmar ini akan dikenal pasti.

'Tapi semestinya Malaysia sebagai sebuah negara yang juga bertanggungjawab tidak akan menghantar pulang sekiranya 5,000 orang pelarian Myanmar ini akan sama ada dizalimi ataupun nyawa mereka akan terancam.

“Jadi ada beberapa perkara yang kita akan teliti dahulu dalam perbincangan dengan kerajaan junta di Myanmar sebelum kita laksanakan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini semalam.

Menurut Fahmi, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebelum ini dimaklumkan bahawa kerajaan junta Myanmar bersedia menerima semula 5,000 pelarian terbabit.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu terlebih dahulu meneliti kriteria dan mekanisme penghantaran pulang sebelum sebarang tindakan dilaksanakan.

Difahamkan, kira-kira 190,000 pelarian dan pemohon suaka kini berdaftar dengan United Nations High Commissioner for Refugees di Malaysia, dengan lebih 80 peratus daripadanya terdiri daripada etnik Rohingya dan kumpulan etnik lain dari Myanmar.

Isu kebanjiran pelarian Rohingya di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini sering menjadi perhatian umum, khususnya berkaitan penempatan di beberapa lokasi, persaingan mendapatkan pekerjaan berpendapatan rendah serta kebimbangan masyarakat terhadap aspek keselamatan dan ketenteraman awam.

+ - reset