TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

MB Selangor jamin isu tular latihan atlet PARA SUKMA ditangani

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 16 OGOS - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, memberi jaminan isu sesi latihan atlet renang PARA Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang dihentikan serta merta, sebagaimana tular di media sosial, tidak akan berulang.

Menurutnya, pihaknya akan memastikan penyelarasan jadual penggunaan kolam renang dengan mengambil kira keperluan latihan semua atlet, khususnya ketika acara renang sedang berlangsung.

“Kita akan bagi ruang untuk mereka (atlet PARA)… mungkin kebetulan ada beberapa jadual yang harus disusun.

“Kebetulan sukan renang juga akan berlaku (pada ketika itu). Jadi, (selepas ini) kita akan elakkan ataupun pastikan hal itu tidak berulang,” katanya mengulas isu terbabit.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 yang disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini malam tadi.

Semalam, tular di laman media sosial dakwaan pasukan atlet PARA SUKMA Renang Selangor terpaksa menghentikan latihan serta-merta bagi memberi laluan kepada pihak lain yang bukan atlet temasya itu untuk menggunakan kemudahan berkenaan.

Isu terbabit menyebabkan atlet berkenaan kehilangan masa latihan yang amat penting menjelang pertandingan tidak lama lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin memberitahu pemberita bahawa kontinjen negeri Selangor tidak mahu terlalu selesa meskipun kedudukan Selangor pada ketika ini di landasan baik ke arah kejuaraan.

“Nampaknya kita berada dalam ‘track record’ yang baik, ikutkan hari ini (semalam) sepatutnya kita hanya menambah satu pingat emas.

“Tetapi kita (dapat) dua lagi bonus menjadikan keseluruhan (semalam) tiga (emas) atau keseluruhan tujuh (emas), jadi insya Allah kita berada dalam keadaan baik.

“Tapi (dalam) sukan, apa-apa boleh berlaku. Semangat kesukanan yang penting,” katanya.

SUKMA XXII Selangor 2026 dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA akan diadakan pada 5 hingga 14 September 2026.

SUKMA XXII bakal menyaksikan persaingan lebih 5,000 atlet muda dari seluruh negara memburu 468 pingat emas menerusi 37 jenis sukan yang dipertandingkan hingga 24 Ogos ini.

+ - reset