TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis selesai rakam 92 saksi, kes kematian pelajar 14 tahun di Setapak masih disiasat

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Polis telah merakam keterangan 92 saksi bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar sekolah menengah berusia 14 tahun di kediaman keluarganya di Jalan Langkawi, Setapak, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, rakaman keterangan itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju susulan laporan terbaharu yang dibuat ibu mangsa pada jam 7.49 malam, 19 Ogos lalu.

Menurut beliau, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

“Kes masih dalam siasatan dan pihak polis menerima panggilan kecemasan daripada ibu pelajar berkenaan pada 18 Ogos lalu kira-kira jam 1.59 pagi selepas mendapati anaknya tidak sedarkan diri di dalam bilik.

“Pelajar itu dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan ambulans sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas pada jam 2.25 pagi,” katanya.

Fadil berkata, bedah siasat telah dijalankan dan pegawai perubatan forensik HKL memaklumkan punca kematian adalah ‘tekanan pada leher akibat tergantung’.

Katanya, pada peringkat awal, satu laporan mati mengejut (SDR) dibuka oleh Ketua Polis Balai Setapak.

Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan tampil membantu siasatan sekiranya mempunyai maklumat.

“Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, ASP Baldev Singh A/L Gurdial Singh di talian 03-92899222 / 012-4806062, Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-21159999, atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

+ - reset