TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Gagal sedia pasukan lengkap, KL City didenda RM50,000 hilang 3 mata ke atas NSFC

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 25 OGOS - Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberikan kemenangan percuma kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) dan mengenakan hukuman denda RM50,000 terhadap Kuala Lumpur (KL) City FC.

Ia susulan aksi Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan itu yang sepatutnya berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lalu dibatalkan pada saat akhir dan KL City turut dikehendaki membayar semua ganti rugi serta kos berkaitan yang diputuskan oleh MFL.

MFL memaklumkan perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah, semalam selepas meneliti semua dokumen, laporan dan maklumat yang dikemukakan pihak berkaitan, termasuk laporan perubatan daripada hospital kerajaan bertarikh 24 Ogos 2026 yang dikemukakan oleh KL City FC dalam kenyataan hari ini,

MFL menjelaskan, selepas mengambil kira keseluruhan fakta dan dokumen yang dikemukakan serta peruntukan di bawah Peraturan Pertandingan Liga Malaysia dan 'Constitution of the Malaysian Football League', Ahli Lembaga Pengarah mendapati KL City gagal menguruskan urusan pendaftaran pemain lebih awal hingga menyebabkan gagal menyediakan pasukan lengkap untuk beraksi menentang NSFC.

Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu berkata, ia berikutan hasil semakan menerusi sistem MyPAS, Sabtu lalu, mereka mendapati KL City hanya mendaftarkan 12 pemain sahaja iaitu 11 pemain dan seorang penjaga gol.

"Sehubungan itu, Lumpur City FC jelas melanggar Artikel 4.5.7 (i) Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2026-2027: Bagi semua kelab Liga Malaysia hendaklah mendaftar maksimum 20 dan minimum 15 pemain termasuk minimum dua penjaga gol dalam 'Team List' serta Pekeliling Liga Malaysia berkenaan syarat-syarat pendaftaran pegawai dan pemain Liga Super 2026-2027 yang diedarkan kepada semua kelab pada 29 Jun 2026: Semua kelab hendaklah mendaftarkan minimum 20 orang pemain termasuk tiga penjaga gol pada atau sebelum perlawanan pertama Liga Malaysia 2026 – 2027.

"Selain itu Kuala Lumpur City FC juga tidak mematuhi Artikel 3.1.3 Peraturan Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP): Kelab hendaklah melengkapkan Team Selection List dengan 20 pemain iaitu, pemain kesebelasan utama, pemain simpanan termasuk ketua kelab serta 10 orang pegawai di bangku simpanan.

"Unit Pelesenan Kelab MFL dan First Instance Body (FIB) sudah berulang kali mengeluarkan peringatan kepada Kuala Lumpur City FC untuk menyelesaikan denda yang telah dikenakan oleh FIFA sehingga mendapat Perintah Larangan Pendaftaran Pemain Antarabangsa.

"Namun Kuala Lumpur City FC dilihat gagal bertindak proaktif dalam menyelesaikan kes berkenaan yang akhirnya memberi kesan kepada urusan pendaftaran pemain kelab itu musim ini.

"Justeru Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan bahawa Negeri Sembilan FC diberikan kemenangan 3-0 serta mendapat tiga mata di atas kegagalan Kuala Lumpur City FC yang tidak turun beraksi pada perlawanan pertama Liga Super," menurut kenyataan MFL.

Perlawanan berkenaan tidak dapat dilangsungkan selepas KL City FC mengemukakan permohonan kepada MFL pada jam 12.40 tengah hari, Sabtu lalu berhubung keadaan kesihatan membabitkan 13 pemain dan dua pegawai pasukan yang dilaporkan dijangkiti wabak influenza.

MFL kemudiannya memaklumkan keputusan perlawanan itu tidak dapat dilangsungkan kepada semua kelab melalui pekeliling pada hari yang sama.

Susulan keputusan itu, NSFC mengemukakan surat bantahan kepada MFL, Sabtu lalu serta memohon MFL membuat semakan menyeluruh terhadap perkara berkenaan dan memberikan keputusan berdasarkan peraturan pertandingan Liga M.

+ - reset