TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Sulong cedera gagah jalan dari Gerik hasrat pulang ke habitat di Gua Musang

By
|
Kongsi
image

'Sedihnya tengok dia' perjalanan sayu Sulong, gajah cedera gagah jalan dari Gerik untuk pulang ke rumah di Gua Musang

KUALA LUMPUR 25 OGOS - Dalam keadaan kaki kanan cedera dan langkah semakin perlahan, seekor gajah yang dipercayai Sulong tetap meneruskan perjalanan seolah-olah mahu kembali ke tempat asalnya di Gua Musang.

Rakaman haiwan itu berjalan sendirian di bahu Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli sejak semalam menyentuh hati ramai, lebih-lebih lagi apabila luka pada kakinya jelas kelihatan setiap kali ia melangkah.

Menerusi beberapa video tular, gajah terbabit dilihat berjalan perlahan di tepi jalan termasuk pada waktu malam, menyebabkan ramai pengguna media sosial percaya ia adalah Sulong berdasarkan kecederaan pada kaki kanan hadapannya.

Seorang pengguna yang mendakwa terserempak dengan gajah itu awal pagi pula berkata, haiwan tersebut dilihat berjalan perlahan sebelum sampai ke Jeli.

"Alhamdulillah, subuh pagi tadi ada terjumpa sebelum sampai Jeli. Jalan melenggang perlahan saja dia, nampak kesan luka di kaki itu,” kata Wan.

Menurut beberapa hantaran tular di media sosial, Sulong dikatakan berasal dari Chalil, Gua Musang sebelum dipindahkan ke kawasan hutan di Gerik dalam operasi translokasi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Bagaimanapun, selepas dipindahkan, Sulong dipercayai bergerak semula menghala ke kawasan asalnya dan menempuh perjalanan yang jauh.

"Walaupun jauh beratus-ratus kilometer dia dihantar, tetapi dia tetap ingin kembali ke tempat asal. Sebelum ini Sulong dihantar ke hutan Gerik oleh Perhilitan semasa operasi translokasi dari Gua Musang.

"Namun dengan kerinduannya pada kampung halaman dan kawanan, dia nekad berjalan jauh," tulis @Shyraghaz.

Seorang lagi pengguna turut mendakwa terserempak dengan Sulong berhampiran kawasan Titiwangsa dan menyifatkan kecederaan pada kakinya kelihatan agak teruk.

“Gajah yang saya jumpa dekat dengan Titiwangsa rupanya Sulong Gajah dari Gua Musang yang dipindah ke Gerik. Simpati dengan nasib Sulong lepas tau ceritanya.. Moga baik-baik saja Sulong,” komen @farisnordin89.

Perkongsian mengenai perjalanan Sulong itu kemudian dibanjiri doa orang ramai yang berharap gajah tersebut selamat sampai ke destinasi serta kecederaannya segera sembuh.

“Semoga tiba dengan selamat ke destinasi Sulong. Doa kami sentiasa mengiringimu. Kamu anak yang kuat,” tulis seorang pengguna.

Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi daripada Perhilitan sama ada gajah yang tular itu benar-benar Sulong, punca sebenar kecederaan pada kakinya serta lokasi terkini haiwan tersebut.

+ - reset