TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KM Melaka hantar makanan terus ke rumah pelanggan, mahu rasa sendiri hidup 'keras' seorang ‘rider’

By
|
Kongsi
image

 

MELAKA 2 Sept - Bukan sekadar turun padang bertemu rakyat, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh tampil mencuri perhatian apabila mencuba sendiri tugas sebagai ‘rider’ p-hailing dengan mengambil pesanan makanan sebelum menghantarnya terus ke rumah pelanggan.

Tindakan itu dilakukan bagi membolehkan Ab Rauf menyelami sendiri cabaran yang dihadapi pekerja p-hailing yang mencari rezeki menerusi pelbagai platform digital.

Beliau berkata pengalaman berkenaan memberinya peluang memahami sendiri proses yang dilalui pekerja p-hailing, daripada menerima pesanan, mengambil makanan sehingga membuat penghantaran kepada pelanggan.

Malah, pengalaman itu turut memberi gambaran mengenai kesungguhan golongan berkenaan mencari pendapatan bagi menyara keluarga.

“Saya cuba menjadi seorang daripada ‘delivery boy’ (penghantar)… bagaimana kaedah menerima pesanan dan selepas itu cuba menghantar ke rumah orang.

“Saya cukup menghayati hasil pendapatan yang mereka peroleh untuk menyara keluarga di rumah,” katanya.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata peranan pekerja p-hailing perlu diberikan perhatian memandangkan golongan itu turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara menerusi perkhidmatan penghantaran dalam talian.

Katanya, perkembangan teknologi dan perubahan gaya hidup masyarakat turut mengubah kaedah perniagaan serta landskap ekonomi, sekali gus menjadikan perkhidmatan p-hailing semakin penting.

“Saya akan menyarankan kepada pihak berwajib supaya melihat aspek kebajikan mereka.

“Mereka ini menyumbang kepada ekonomi Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata lebih 3,000 pekerja p-hailing di Melaka dijangka menerima manfaat menerusi bantuan yang sedang dirangka, dengan pengumuman berhubung perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Beliau turut mengajak golongan p-hailing menghadiri Karnival Anak Muda yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), 4 September ini.

Karnival berkenaan turut menyediakan cabutan bertuah dengan hadiah 10 motosikal selain topi keledar edisi khas Ketua Menteri Melaka.

+ - reset