Berita Berita
UNHCR enggan masuk campur rancangan Malaysia hantar pulang pelarian, beri amaran keadaan di Myanmar masih tidak selamat
KUALA LUMPUR 2 Sept - Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam rancangan Malaysia untuk menghantar pulang pelarian Myanmar, selain memberi amaran keadaan di negara berkenaan masih belum selamat untuk kepulangan mereka.
Kenyataan itu dibuat selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela telah dimuktamadkan, membabitkan 1,476 pelarian yang dijadual dihantar ke Myanmar pada 29 September ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memaklumkan Myanmar bersetuju menerima 5,000 pelarian Rohingya ketika isu kehadiran pelarian berkenaan mencetuskan ketegangan dalam sesetengah komuniti tempatan.
Bagaimanapun, UNHCR berkata, konflik bersenjata dan keganasan yang masih berterusan di Myanmar menyebabkan kepulangan pelarian secara sukarela, selamat, bermaruah dan mampan belum dapat dilaksanakan.
“Sebarang kepulangan pelarian mestilah secara sukarela, berdasarkan keputusan yang dimaklumkan serta dilaksanakan dalam keadaan selamat dan bermaruah,” katanya dalam kenyataan melalui e-mel kepada Reuters pada Selasa.
UNHCR turut menggesa supaya keperluan perlindungan semua pihak yang terlibat dinilai dengan teliti sebelum sebarang proses penghantaran pulang dilakukan.
Pada masa sama, agensi itu berkata pihaknya bersedia mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan langkah perlindungan sewajarnya disediakan.
KDN bagaimanapun enggan mengulas kenyataan UNHCR dan merujuk kepada pendirian sebelum ini bahawa proses penghantaran pulang berkenaan dilaksanakan secara sukarela.
Ribuan pelarian melarikan diri dari Myanmar selepas rampasan kuasa tentera pada 2021 yang mencetuskan perang saudara di seluruh negara.
Menurut data UNHCR, Malaysia menempatkan kira-kira 193,800 pelarian Myanmar daripada pelbagai etnik, termasuk Rohingya dan Chin, setakat Februari lalu.
Bagaimanapun, kumpulan aktivis mendakwa jumlah sebenar pelarian yang berada di Malaysia jauh lebih tinggi berikutan sebahagian daripada mereka masih belum mendaftar. - Agensi
Berita berkaitan
September 2, 2026, 12:12 pm
Pelancong wanita El Salvador maut akibat langgar lari ketika berjalan kaki dekat hotel di Pasir Puteh
September 2, 2026, 12:07 pm
Hukum solat tersalah waktu di luar negara bergantung jenis kesilapan
September 2, 2026, 12:02 pm
Kerajaan larang penayangan drama 'Madu atau Racun' sentuh sensitiviti
September 2, 2026, 10:29 am
'Saya cuma hadir untuk lihat sambutan rakyat’ - Tun M jelaskan kehadirannya di Putrajaya pada Hari Kebangsaan
September 2, 2026, 10:04 am
Empat laporan diterima, polis 'jemput' lelaki cetus provokasi Hari Kebangsaan tampil ke IPD Putrajaya
September 2, 2026, 9:52 am
KM Melaka hantar makanan terus ke rumah pelanggan, mahu rasa sendiri hidup 'keras' seorang ‘rider’
September 2, 2026, 9:17 am
Malaysia tak mahu dipaksa pilih AS atau China, Jepun kekal rakan strategik - Johari
September 2, 2026, 8:31 am
