TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Empat laporan diterima, polis 'jemput' lelaki cetus provokasi Hari Kebangsaan tampil ke IPD Putrajaya

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 2 Sept - Polis meminta seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian provokasi ketika Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, 31 Ogos lalu, tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya setakat ini menerima empat laporan polis berkaitan kejadian berkenaan.

Katanya, polis turut mengesan satu video berdurasi dua minit 18 saat yang dimuat naik menerusi akaun Facebook Anwar Captain Goose, memaparkan kejadian berkenaan.

“Pihak polis telah mengesan video dimuat naik di akaun Facebook Anwar Captain Goose yang berdurasi dua minit 18 saat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Video itu memaparkan seorang lelaki Melayu berbaju oren atau coklat yang dipercayai melakukan provokasi sebelum merempuh dan menolak orang awam yang sedang menunggu pembukaan pagar ke tempat duduk.

Tindakan itu menyebabkan berlaku tolak-menolak sehingga beberapa individu dilaporkan terjatuh.

“Kejadian ini dipercayai berlaku semalam (31 Ogos) kira-kita pukul 5.00 pagi,” katanya.

Sehubungan itu, Aidi Sham meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Sebelum ini, tular di beberapa platform media sosial mengenai tindakan seorang lelaki yang mencetuskan provokasi selepas dipercayai cuba melompat pagar untuk masuk ke kawasan tempat duduk ketika Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos lalu.

+ - reset