Berita Sukan
Piala FA: JDT benam UM Damansara, Kelantan ikat Kuching City
KUALA LUMPUR 2 SEPTEMBER - Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) memulakan kempen Piala FA dengan langkah kanan selepas membenam cabaran UM-Damansara United 4-1 dalam aksi pertama pusingan 16 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri semalam.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila diberikan sepakan penalti seawal minit kedua susulan kekasaran Muhammad Ghaffar Abdul Rahman ke atas Jonathan Silva.
Pemain import JDT, Jairo da Silva, tenang menyempurnakan peluang untuk meletakkan Harimau Selatan di hadapan.
JDT kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-29 menerusi jaringan pemain import baharu, Daniel Lima De Castro, yang mencatat nama sebagai penjaring pada penampilan sulungnya.
Tekanan buat skuad kendalian Mohd Asri Ninggal apabila Manuel Hidalgo meledak gol ketiga JDT pada minit ke-42 untuk melengkapkan kedudukan 3-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, JDT terus mendominasi permainan.
Hidalgo sekali lagi bertindak cemerlang meledak rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-53 untuk gol keduanya.
Pasukan pelawat akhirnya memperoleh gol saguhati menerusi pemain gantian, Shafizi Iqmal Md Khairudin pada minit ke-90, namun jaringan itu gagal untuk menghalang kemenangan selesa JDT 4-1.
Kedua-dua pasukan dijadualkan bertemu semula bagi aksi timbal balik di lokasi sama pada 8 September ini.
Sementara itu di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan Red Warrior berjaya mengekang keupayaan naib juara Liga Super 2025/26, Kuching City, selepas terikat tanpa jaringan dalam perlawanan pertama pusingan 16.
Walaupun pengadil memberi tambahan masa sebanyak tujuh minit di babak kedua, kedua-dua pasukan gagal menemui jalan keluar dan terpaksa berpuas hati dengan keputusan 0-0.
Perlawanan timbal balik seterusnya bakal berlangsung di Stadium Negeri, Sarawak, Selasa depan.
Dalam pada itu, aksi pusingan 16 antara DPMM FC dan Terengganu FC (TFC) yang sepatutnya berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Brunei jam 8.15 malam ini terpaksa ditangguhkan akibat jerebu.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan mengesahkan keputusan itu dibuat atas arahan Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negara berkenaan mencecah bacaan 215 setakat jam 4 petang, sekali gus berada pada Tahap Sangat Tidak Sihat.
Berita berkaitan
October 29, 2026, 8:50 am
Kecederaan Bergson resahkan kem Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan antarabangsa
October 17, 2026, 10:49 am
Dendam Jojo terbalas, berjaya tundukkan Diego Paez
October 9, 2026, 1:03 am
Pernah ledak 7 gol lawan Arab Saudi, kini Lim You kembali pamer jaringan padu kaki kiri
October 8, 2026, 5:20 pm
Pemain amatur Jepun kena tumbuk dengan 'goalkeeper' lepas jaring gol penalti di Malaysia
October 6, 2026, 1:19 pm
Harimau Malaya dijangka melonjak ke kedudukan ke-133 dunia dalam ranking FIFA
October 6, 2026, 1:02 pm
Pemandu F1 Valtteri Bottas kayuh basikal lebih 350km dari Sepang ke Singapura
October 2, 2026, 11:34 am
Masa tambahan 2 minit jadi 7 minit, FAM mohon penjelasan FIFA
October 2, 2026, 11:23 am
Pemain Harimau Malaya persoal kontroversi masa tambahan Indonesia
October 1, 2026, 12:33 pm
Arif Aiman terus curi perhatian, Cheng Hoe puji bakat dan kualiti teknikal luar biasa
September 29, 2026, 10:10 am
