TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pendedahan Laporan RCI Tabung Haji perlu dijadikan iktibar utama elak kontroversi berulang

By
|
Kongsi
image

BANGI, 3 September – Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dijadikan iktibar yang mendalam oleh semua pihak bagi memastikan krisis serta kontroversi melibatkannya tidak lagi berulang pada masa hadapan.

Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussin menegaskan bahawa kelompongan yang berlaku sebelum ini bukan sahaja mencalarkan imej korporat institusi berkenaan, malah berisiko menghakis asas kepercayaan umat Islam terhadap pengurusan deposit simpanan haji.

Beliau menjelaskan bahawa TH kini berada di fasa akhir apabila hampir melengkapkan pelaksanaan 90 peratus daripada keseluruhan syor yang dikemukakan dalam Laporan RCI sejak proses transformasi itu dimulakan pada tahun 2022.

Langkah penambahbaikan yang diambil merangkumi pemantapan aspek tadbir urus korporat, peningkatan integriti, pengurusan risiko serta kawalan kecairan kewangan bagi menjamin kestabilan institusi berkenaan dalam jangka masa panjang.

Menurut Rashid, pelaksanaan syor RCI ini adalah krusial bagi memperkukuh mekanisme semak dan imbang demi memastikan TH terus beroperasi secara telus serta bebas daripada sebarang bentuk campur tangan pihak luar.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa TH telah berjaya kembali ke landasan operasi yang kukuh, sekali gus memberi bayangan positif berhubung kadar agihan dividen yang dijangka meningkat berikutan pemulihan keuntungan syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

+ - reset