TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dakwaan Malaysia buka pintu untuk 200,000 pekerja Bangladesh, ini jawapan Fahmi

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 3 Sept - Dakwaan Malaysia akan mengambil sehingga 200,000 pekerja dari Bangladesh bukan pendirian rasmi kerajaan negara berkenaan, kata jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Memetik laporan Berita Harian, Fahmi berkata beliau sudah mendapatkan penjelasan daripada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berhubung kenyataan itu dan dimaklumkan ia dibuat oleh seorang menteri muda Bangladesh.

Justeru, beliau berkata kenyataan berkenaan tidak wajar ditafsirkan sebagai keputusan atau pengumuman rasmi kerajaan Bangladesh.

“Saya ada berhubung dengan Menteri Sumber Manusia mengenai perkara terbabit dan beliau memaklumkan bahawa itu bukan kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan Bangladesh.

“Ia (kenyataan) dikeluarkan oleh seorang, saya difahamkan seorang junior minister (menteri muda), jadi bukan mewakili keputusan rasmi pihak kerajaan Bangladesh,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.

Sebelum ini, menteri berkenaan dilaporkan mendakwa Malaysia akan mengambil 200,000 pekerja Bangladesh menerusi syarikat yang mendapat kelulusan pihak berkuasa Malaysia.

Proses pengambilan itu juga dikatakan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula akhir September dan dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan untuk diselesaikan.

Dalam perkembangan berkaitan, pada Jun lalu, Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman, meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mempertimbangkan pembukaan semula pasaran buruh Malaysia kepada pekerja dari Bangladesh.

Malaysia sebelum ini mengehadkan pengambilan pekerja Bangladesh pada 2024 berikutan laporan berkaitan eksploitasi pekerja, termasuk isu jeratan hutang, buruh paksa serta kemasukan pekerja ke negara ini tanpa pekerjaan seperti yang dijanjikan.

+ - reset