Berita Sukan
Terengganu, Penang buntu tanpa gol, kebangkitan dramatik Akhyar selamatkan Negeri Sembilan
KUALA NERUS 6 SEPTEMBER - Saingan Liga Super meneruskan bahangnya apabila Terengganu FC (TFC) dan Penang FC terpaksa berpuas hati berkongsi mata selepas terikat tanpa jaringan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak semalam.
Aksi ketiga liga itu menyaksikan skuad bimbingan Nafuzi Zain tercicir lima mata daripada tiga perlawanan di laman sendiri, manakala Penang FC berjaya meraih mata pertama mereka musim ini.
TFC hampir berada di hadapan seawal minit ke-10 menerusi jaringan import Curacao, Gervane Kastaneer, namun gol tersebut dibatalkan ekoran kedudukan ofsaid dalam gerakan awal.
Penang FC turut memberikan ancaman berbahaya menerusi rembatan Shahrel Fikri Md. Fauzi dari luar kotak penalti yang sekadar menggegarkan tiang gol.
Bersambung pada babak kedua, TFC terus memburu gol kemenangan dan memperoleh peluang terbaik pada minit ke-78 menerusi rembatan kencang penyerang naturalisasi negara, Romel Morales, namun percubaannya sedikit tersasar.
Morales sekali lagi berpeluang menerusi sepakan percuma di hujung permainan, tetapi percubaannya sekadar terkena benteng pertahanan lawan. Penang FC turut melepaskan peluang keemasan meraih tiga mata menerusi sepakan percuma dua minit selepas itu, sekali gus memastikan kedudukan 0-0 kekal sehingga wisel penamat.
Sementara itu di Paroi, Negeri Sembilan FC (NSFC) mempamerkan aksi kebangkitan dramatik pada lewat permainan untuk mengikat Star City 2-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman.
Akhyar Rashid, muncul wira skuad Hobin Jang Hobin apabila meledak kedua-dua gol pasukan tempatan termasuk gol penyamaan pada masa kecederaan, sekali gus mengubat duka penyokong selepas tewas dalam dua perlawanan terdahulu.
Star City bimbingan Mehmed Durakovic terlebih dahulu mendahului perlawanan pada minit ke-38 menerusi jaringan Pedro Henrique Oliveira Da Silva yang bijak memperdayakan benteng dan penjaga gol tuan rumah, Muhammad Azri Ghani.
Pasukan pelawat kemudian mengukuhkan kedudukan sejurus babak kedua bermula menerusi gerakan solo Moses Atede Jona Atululu pada minit ke-46 bagi menjadikan kedudukan 2-0.
Tindakan pengendali Negeri Sembilan, Daniel Gimenez Alcañiz, memasukkan penyerang muda Abdul Rahman Daud menggantikan Javabilaarivin nyata membuahkan hasil.
Abdul Rahman dijatuhkan oleh Rafael Victor dalam kotak penalti, membolehkan Akhyar menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-75 untuk merapatkan jurang.
Sorakan penyokong tuan rumah akhirnya bergema pada minit ke-94 (90+4) apabila Akhyar sekali lagi meledak gawang lawan bagi melengkapkan kebangkitan dramatik NSFC untuk mengikat kedudukan sehingga tamat perlawanan.
Berita berkaitan
October 29, 2026, 8:50 am
Kecederaan Bergson resahkan kem Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan antarabangsa
October 17, 2026, 10:49 am
Dendam Jojo terbalas, berjaya tundukkan Diego Paez
October 9, 2026, 1:03 am
Pernah ledak 7 gol lawan Arab Saudi, kini Lim You kembali pamer jaringan padu kaki kiri
October 8, 2026, 5:20 pm
Pemain amatur Jepun kena tumbuk dengan 'goalkeeper' lepas jaring gol penalti di Malaysia
October 6, 2026, 1:19 pm
Harimau Malaya dijangka melonjak ke kedudukan ke-133 dunia dalam ranking FIFA
October 6, 2026, 1:02 pm
Pemandu F1 Valtteri Bottas kayuh basikal lebih 350km dari Sepang ke Singapura
October 2, 2026, 11:34 am
Masa tambahan 2 minit jadi 7 minit, FAM mohon penjelasan FIFA
October 2, 2026, 11:23 am
Pemain Harimau Malaya persoal kontroversi masa tambahan Indonesia
October 1, 2026, 12:33 pm
Arif Aiman terus curi perhatian, Cheng Hoe puji bakat dan kualiti teknikal luar biasa
September 29, 2026, 10:10 am
