Berita Politik
Tiada keperluan bubar Parlimen selagi PM Anwar ada sokongan majoriti - DAP
PUTRAJAYA 6 SEPTEMBER - DAP berpendirian tiada keperluan untuk Kerajaan Perpaduan membubarkan Parlimen selagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata Kerajaan Perpaduan telah dibentuk atas persefahaman selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan menerima mandat bagi Ahli Parlimen parti masing-masing selama lima tahun.
"Selepas PRU lepas, beberapa pihak, beberapa gabungan atas nasihat daripada Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu telahpun membentuk Kerajaan Perpaduan ini.
"Selagi persefahaman itu masih dikekalkan dan ada sokongan majoriti Ahli Parlimen, tidak ada keperluan untuk membubarkan Parlimen pada ketika ini kerana tempoh Parlimen ini masih ada 15 bulan sehingga hujung tahun depan," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kongres Kebangsaan Wanita DAP 2026 yang turut dihadiri Ketua Wanita Kebangsaan DAP Teo Nie Ching di sini.
Loke berkata tempoh 15 bulan itu perlu digunakan bagi melaksanakan perubahan dan agenda yang disepakati oleh gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata perubahan dan agenda itu termasuk beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan iaitu pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang telah dipersetujui di peringkat Jemaah Menteri dan dibawa ke Parlimen.
"Agenda untuk menghadkan tempoh dua penggal iaitu 10 tahun bagi Perdana Menteri, itu telahpun dipersetujui Jemaah Menteri malah pernah dibawa ke Parlimen.
"Jadi ini dua perkara besar yang seharusnya menjadi tumpuan kerajaan dalam persidangan Parlimen yang akan datang selain daripada pembentangan Belanjawan 2027," katanya.
Beliau berkata fokus utama kerajaan pada ketika ini sepatutnya pelaksanaan agenda reformasi yang dijanjikan dan bukannya memikirkan berkenaan dengan pilihan raya.
Sementara itu, berkaitan hubungan antara parti komponen, Loke berkata tiada masalah yang timbul berikutan kesemua parti masih berada dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
"Sudah tentu bagi parti-parti politik, tiada pihak yang boleh menghalang mana-mana parti politik atau ahli politik daripada berpolitik...Jadi bagi kami, kecuali parti membuat keputusan untuk mengatakan mereka tidak lagi menyokong Perdana Menteri semasa atau kerajaan semasa, itu adalah cerita yang berbeza.
"Selagi komitmen itu masih ada, parti-parti yang menyokong pembentukan semasa, kerajaan semasa, Perdana Menteri semasa, tidak ada sebab untuk Parlimen dibubarkan kerana Perdana Menteri masih memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen," katanya.
Berita berkaitan
October 21, 2026, 12:17 pm
Bersatu gantung keahlian MB Perlis
October 18, 2026, 4:18 pm
Kemelut politik Negeri Sembilan tak beri kesan pada BN hadapi PRN Melaka
October 17, 2026, 6:23 pm
Nik Nazmi direhatkan 3 bulan daripada aktiviti rasmi BERSAMA
October 17, 2026, 1:42 pm
PAS terima hakikat BN bakal memimpin di Melaka
October 16, 2026, 9:54 am
PAS utamakan rundingan bersama UMNO, BN hadapi PRU16
October 7, 2026, 9:35 am
PAS Melaka nafi senarai tular calon empat kerusi DUN bagi PRN Melaka
September 29, 2026, 4:35 pm
PH muktamad tidak bekerjasama dengan BN bagi PRN Melaka
September 24, 2026, 9:52 am
Notis pembatalan RoS: PAS teguh berdiri bersama parti komponen pertahan PN
September 23, 2026, 8:45 pm
PN terima notis tunjuk sebab pembatalan pendaftaran daripada RoS
September 23, 2026, 8:41 pm
