TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Orang dah benci DAP, lebih baik PAS’ – Raja Sara Petra

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

KUALA LUMPUR 10 Sept – Puteri UMNO berpandangan PAS mempunyai kelebihan dalam perkembangan politik semasa, termasuk kerjasama yang dibentuk UMNO dengan parti tertentu di beberapa negeri.

Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Raja Sara Raja Petra berpandangan UMNO perlu mengambil kira sentimen rakyat terhadap DAP susulan kerjasama parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya rasa PAS masih ada harapan dan kelebihan di beberapa negeri. Saya rasa itulah arah yang betul,” katanya ketika ditemui Media Telus pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai kerjasama UMNO dengan DAP, beliau berkata parti itu berdepan sentimen negatif dalam kalangan rakyat.

“Saya percaya orang dah benci DAP, orang dah tak suka.

“Jadi jika awak masih ingin bergabung dengan dia, ada risiko yang perlu ditanggung,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata PAU yang berlangsung setiap tahun penting dalam usaha menaikkan semangat ahli parti terhadap UMNO dan negara.

Katanya, semangat perjuangan ahli UMNO tidak pernah gagal dan setiap kali pulang daripada PAU, semangat untuk terus berjuang diterapkan dalam jiwa mereka.

“Saya rasa setiap tahun PAU adalah untuk menaikkan semangat ahli-ahli UMNO terhadap parti dan negara.

“Saya rasa daripada kata-kata Tok Mat semalam kepada pemimpin UMNO, semuanya menekankan kepentingan rakyat, semangat dan perjuangan,” katanya.

Mengenai keadaan Puteri UMNO pada PAU kali ini, beliau berkata semangat ahli parti kekal kuat, terutama selepas UMNO mencatat kemenangan dalam dua pilihan raya negeri (PRN).

Katanya, kemenangan itu memberikan momentum kepada parti, selain menunjukkan rakyat masih memberikan kepercayaan kepada UMNO.

“Saya rasa ahli UMNO bersemangat kerana UMNO baru menang dua raya negeri.

“Memang mempunyai momentum untuk parti. Rakyat mempercayai UMNO," katanya.

Beliau berkata UMNO perlu menggunakan tempoh berkenaan untuk meningkatkan usaha mendekati rakyat, memperbaiki pendekatan serta belajar daripada kesilapan lalu.

Katanya, parti tidak seharusnya memberikan janji kosong, sebaliknya perlu kembali memperjuangkan kepentingan rakyat, khususnya perkara yang paling memberi tekanan kepada kehidupan mereka.

“Untuk meningkatkan kepercayaan, kita perlu melihat bagaimana kita mengikuti mesej kita. Bagaimana kita belajar daripada kesilapan.

“Jangan bagi janji-janji kosong, semua yang berlaku di negara ini, perjuangkan balik rakyat, terutamanya apa yang rakyat mahukan. 

“Jika kita bergerak ke arah ini, kita akan okey,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mempunyai harapan UMNO dapat kembali memenangi hati rakyat, beliau berkata perkara itu bergantung kepada sejauh mana parti bergerak mengikut kehendak rakyat.

“Jika kita bergerak ke arah yang betul, ya kita mampu", katanya.

Beliau turut menegaskan setiap keputusan yang dibuat UMNO perlu berasaskan kehendak rakyat dan pengalaman daripada kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Saya harap apa sahaja keputusan yang akan dibuat, kita akan buat berdasarkan apa yang rakyat mahu," katanya. 

+ - reset