Berita Berita
Pernah disamun RM1 juta pada 2024, kedai emas di Sungai Petani sekali lagi jadi sasaran kumpulan penyamun
SUNGAI PETANI 17 Sept – Hanya bersenjatakan tukul dan senjata tajam, empat lelaki bertopeng bertindak nekad menyamun sebuah kedai emas di dalam pusat beli-belah di sini, malam tadi, dengan kerugian awal dianggarkan sehingga RM1 juta.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam itu, dua daripada suspek memasuki premis sebelum memecahkan tiga cermin pameran dan melarikan pelbagai barang kemas.
Dua lagi rakan mereka dipercayai menunggu kira-kira 20 meter dari kedai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam sejurus selepas kejadian.
“Kerugian sebenar masih dalam siasatan dan jumlah antara RM700,000 hingga RM1 juta itu adalah anggaran awal daripada pemilik kedai emas terbabit.
“Kita masih menunggu senarai lengkap barang kemas yang hilang daripada pihak premis untuk menentukan jumlah kerugian sebenar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.
Menurut Hanyan, terdapat dua pekerja di dalam premis ketika kejadian, namun kedua-duanya tidak mengalami kecederaan.
Katanya, orang awam turut cuba membantu selepas kejadian dan beberapa barang kemas yang dipercayai tercicir atau ditinggalkan suspek berjaya ditemukan sebelum diserahkan kepada polis.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membahayakan diri ketika cuba membantu menangkap penjenayah terutama apabila suspek dipercayai bersenjata.
“Kita tidak tahu sama ada mereka mempunyai senjata yang lebih berbahaya. Jadi, keselamatan orang awam perlu diutamakan.
“Pada masa sama, kita mengalu-alukan maklumat daripada saksi, termasuk ciri fizikal, bentuk badan, percakapan atau sebarang maklumat mencurigakan sebelum kejadian,” katanya.
Hanyan berkata, nombor pendaftaran dua motosikal yang digunakan suspek masih dalam siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Hanyan mengesahkan kedai emas sama pernah menjadi sasaran samun pada 2024 dengan kerugian ketika itu dipercayai mencecah kira-kira RM1 juta.
Berita berkaitan
September 17, 2026, 4:55 pm
‘Kalau tak lagi iktiraf Tuanku Muhriz, letak jawatan’ – Loke cabar Exco Negeri Sembilan
September 17, 2026, 4:54 pm
Altimet gesa platform e-hailing, p-hailing perkenal kadar potongan lebih adil
September 17, 2026, 4:47 pm
Ab Rauf enggan campur tangan cadangan pembahagian kerusi DAP di Melaka
September 17, 2026, 4:41 pm
Mahdzir bidas PH, tegaskan pengampunan hak prerogatif Agong berteraskan Perlembagaan
September 17, 2026, 2:34 pm
Arus kuat di Crystal Bay, wanita Malaysia maut ketika selam skuba di Bali
September 17, 2026, 1:55 pm
‘Servis cepat, satu jam dah boleh dapat MyKad baru’ – Rakyat puji JPN bersedia awal urus pertukaran MyKad baharu
September 17, 2026, 1:54 pm
Polis siasat remaja 14 tahun pandu kereta rempuh dua kenderaan di Taman Chai Leng
September 17, 2026, 1:37 pm
Imigresen gempur premis kediaman dan perniagaan di Kluang, 25 warga asing ditahan
September 17, 2026, 1:25 pm
