Berita Berita
‘Tenang-tenang Pak’ – Anwar puji pemimpin Sabah, Sarawak depan Zahid
KUCHING 17 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan banyak perkara boleh dipelajari daripada kepimpinan Sabah dan Sarawak, khususnya dalam soal persahabatan serta kerjasama antara kerajaan.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam ucapannya, Anwar pada mulanya menyentuh mengenai hubungan dalam kalangan pimpinan Jemaah Menteri termasuk suara yang kedengaran dalam perhimpunan tertentu sebelum berseloroh meminta supaya keadaan kekal tenang.
"Saya bersyukur kerana pimpinan peringkat jemaah menteri ,ya kadang-kadang adalah sedikit-sedikit, suara-suara dalam perhimpunan dan sebagainya ,itu biasa-biasa. Tenang-tenang Pak," katanya sambil tersenyum.
Beliau kemudian menzahirkan penghargaan terhadap hubungan yang terjalin dengan kepimpinan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.
"Tetapi dalam hubungan saya dengan pimpinan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah saya ucap saya sangat hargai dan terharu dengan persahabatan yang jitu begini.
"Dan sering saya sampaikan kepada kawan-kawan saya di Semenanjung, banyak yang boleh kita belajar dari pimpinan Sabah dan Sarawak ini," tambahnya.
Terdahulu, Anwar turut memuji kedudukan ekonomi Sarawak termasuk kemampuan kerajaan negeri membayar RM1.8 bilion kepada Kerajaan Persekutuan bagi melengkapkan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu.
"Ini saya ceritakan fakta bukan saya kempen untuk GPS, bukan," katanya sambil ketawa kecil.
Anwar turut menyentuh mengenai persoalan yang pernah dibangkitkan di Parlimen berhubung peningkatan peruntukan pembangunan dan pengurusan kepada Sabah serta Sarawak.
"Tetapi kerana—dan Zahid tahu perkara ini—saya disergah di parlimen, mengapa peruntukan ditambah untuk pembangunan dan pengurusan di Sarawak dan di Sabah, Hajiji, ditambah tinggi kerana seolah-olah saya bimbang dengan tuntutan mereka (parti Malaysia Timur).
"Saya jawab saya lihat ini sebagai janji dan menegakkan keadilan. Mereka ketinggalan, jalannya lubang-lubang. Pan Borneo disiapkan. Itu bukan janji saya. Itu janji bapa-bapa kita. Saya hanya teruskan kerana bagi saya pimpinan itu mesti melaksanakan dan mengotakan janji mereka," katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar mengumumkan geran khas interim kepada Sarawak dinaikkan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion berkuat kuasa tahun ini.
Jumlah itu menyamai geran khas interim RM1.5 bilion yang diumumkan untuk Sabah sementara rundingan bagi memuktamadkan formula jangka panjang diteruskan.
Menurut Anwar, keputusan berkenaan dibuat atas semangat setiakawan, persahabatan dan semangat Malaysia serta hasil rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.
Beliau turut menegaskan pelaksanaan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilihat sebagai tanggungjawab nasional dan bukan hanya isu membabitkan Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Abang Johari menyambut baik peningkatan pemberian khas berkenaan serta komitmen Kerajaan Persekutuan dalam meneruskan penyelesaian perkara berkaitan MA63.
Berita berkaitan
September 17, 2026, 4:55 pm
‘Kalau tak lagi iktiraf Tuanku Muhriz, letak jawatan’ – Loke cabar Exco Negeri Sembilan
September 17, 2026, 4:54 pm
Altimet gesa platform e-hailing, p-hailing perkenal kadar potongan lebih adil
September 17, 2026, 4:47 pm
Ab Rauf enggan campur tangan cadangan pembahagian kerusi DAP di Melaka
September 17, 2026, 4:41 pm
Mahdzir bidas PH, tegaskan pengampunan hak prerogatif Agong berteraskan Perlembagaan
September 17, 2026, 2:34 pm
Arus kuat di Crystal Bay, wanita Malaysia maut ketika selam skuba di Bali
September 17, 2026, 1:55 pm
‘Servis cepat, satu jam dah boleh dapat MyKad baru’ – Rakyat puji JPN bersedia awal urus pertukaran MyKad baharu
September 17, 2026, 1:54 pm
Polis siasat remaja 14 tahun pandu kereta rempuh dua kenderaan di Taman Chai Leng
September 17, 2026, 1:37 pm
Imigresen gempur premis kediaman dan perniagaan di Kluang, 25 warga asing ditahan
September 17, 2026, 1:25 pm
