TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sapu sampah ala kadar, pekerja pembersihan diberhentikan susulan tindakan langgar SOP di Shah Alam

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 2 Oct. – Seorang pekerja pembersihan rasmi diberhentikan tugas oleh kontraktor yang dilantik KDEB Waste Management (KDEBWM) selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

KDEBWM mengesahkan penamatan perkhidmatan pekerja terbabit susulan penularan satu rakaman video mengenai kelakuannya di platform media sosial baru-baru ini.

Siasatan awal telah dijalankan oleh KDEBWM bersama kontraktor terbabit bagi mendapatkan penjelasan telus berhubung isu yang tular berkenaan.

Hasil siasatan mengesahkan bahawa tindakan individu terbabit ketika menjalankan tugas pembersihan nyata bertentangan dengan SOP rasmi syarikat.

Ekoran pelanggaran peraturan berkenaan, kontraktor terlibat mengambil tindakan tegas memecat pekerja terbabit serta-merta selain menerima surat amaran rasmi daripada KDEBWM.

Hasil pemantauan menyeluruh di kawasan lain dalam zon terbabit mendapati tahap kebersihan persekitaran secara umumnya masih berada dalam keadaan memuaskan.

KDEBWM menjelaskan bahawa insiden dalam video berkenaan hanyalah perbuatan individu dan tidak mencerminkan kualiti keseluruhan perkhidmatan pembersihan di kawasan terbabit.

Syarikat pengurusan sisa pepejal itu menegaskan bahawa setiap petugas dan kontraktor yang dilantik wajib mematuhi skop kerja serta piawaian perkhidmatan secara ketat.

KDEBWM memberi jaminan akan memperketat pemantauan di lapangan dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap sebarang ketidakpatuhan SOP demi menjaga kualiti kebersihan.

Terdahulu, tular satu video memaparkan luahan rasa tidak puas hati seorang wanita terhadap pekerja pembersihan yang didakwa menjalankan tugas secara sambil lewa di sebuah kawasan di Shah Alam, Selangor.

Wanita terbabit mengadu bahawa pekerja berkenaan hanya menyapu sampah secara ala kadar di sesetengah ruang sebelum terus meninggalkan lokasi kejadian.

+ - reset