TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pekerja ladang maut kemalangan membabitkan dua motosikal dan kereta di Sepang

By
|
Kongsi
image

SEPANG, 6 Okt. – Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah motosikal lain sebelum tercampak dan digilis kenderaan dalam kemalangan di Jalan Sepang/Salak pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, mangsa berusia 19 tahun yang merupakan pekerja di sebuah ladang penternakan lembu tempatan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman mengesahkan insiden berkenaan melibatkan dua motosikal Honda C100 serta sebuah kereta Proton Saga Iswara.

Siasatan awal mendapati penunggang motosikal Honda C100 berwarna hitam iaitu seorang lelaki warga India berusia 30-an sedang bergerak dari arah Sungai Pelek menghala ke Nilai.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai bertembung dengan motosikal Honda C100 berwarna biru yang ditunggang mangsa secara melawan arus di lorong kiri.

Impak pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak ke lorong kanan laluan sebelum digilis kereta Proton Saga Iswara yang sedang bergerak lurus dari arah belakang.

Penolong Pegawai Perubatan yang bergegas ke tempat kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Semakan lanjut mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu yang sah ketika mengendalikan motosikal berkenaan.

Penunggang motosikal warga India yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan turut didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Lelaki warga asing berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian muka dan telah dihantar ke Hospital Cyberjaya menggunakan ambulans Klinik Kesihatan Salak bagi menerima rawatan.

Pemandu Proton Saga Iswara iaitu seorang lelaki tempatan berusia 20-an yang bekerja sebagai penyelia perkhidmatan makanan disahkan mempunyai lesen memandu yang masih sah.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Saksi awam yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-5588221 atau 03-87774264 bagi membantu siasatan. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset